
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 10 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Kerusi P102 Bangi menyaksikan pertembungan lapan penjuru antara Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan tiga calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ini.
Pertandingan lapan penjuru ini membabitkan Annuar Salleh (Pejuang),
Datuk Ho Hee Lee calon (BN), Muhammad Nazrul Hakim Md Hakim (PN), Syahredzan Johan (PH), Chee Chee Meng (PRM) dan tiga calon Bebas iaitu M Suthan Mookaiah, Muhammad Fauzi Hasim serta Prof Jamal Hisham Hashim.
Pegawai Pengurus (RO) Bahagian Pilihan Raya P102 Bangi, Dr Ani Ahmad membuat pengumuman berkenaan di pusat penamaan calon di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah/ Tanah Hulu Langat pada jam 10.20 pagi, selepas tamat tempoh penamaan calon pada jam 10 pagi tadi.
Proses penerimaan kertas penamaan calon yang dibuka pada jam 9 pagi tadi berjalan lancar dengan kawalan ketat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Bangi disandang oleh Ong Kian Ming daripada PH dengan majoriti 68,768.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRU15 pada 19 November dan undi awal pada 15 November ini.