Berita Utama

PRU15: Negara dalam bahaya jika salah pilih pemimpin

Dua dekad politik Malaysia umpama 'musical chair'

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 10 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberi risiko besar kepada Malaysia sekiranya pimpinan yang dipilih tiada kemampuan memandu negara keluar daripada kemelut mendatang.

Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, 

realiti pilihan raya kali ini berlaku dalam suasana yang dianggap ketidaktentuan kuasa.

Katanya, krisis politik negara umpama ‘musical chair’, yang hanya saling bertukar jawatan dalam pusingan pemain sama.

“Sebab apa, yang ada hari ini adalah ahli-ahli politik yang status quo, di mana objektif mereka bukan lagi tertumpu kepada pembangunan dan kemajuan negara, tetapi ‘personal game’ atau kepentingan peribadi daripada pihak tertentu.

“Buktinya banyak sebelum PRU, keluar sana sini kes mahkamah antara calon-calon yang disebut dan banyak lagi calon yang tersangkut dengan kes mahkamah dan kes yang mana mahkamah sendiri nilai ada asas.

“Begitu juga ada calon yang dah didedahkan namanya sebelum ini dalam kertas Pandora, masih juga menjadi calon,” katanya dalam temubual khas sempena Penamaan Calon PRU15 di TV Pertiwi, hari ini.

Menurut Syed Ahmad Israa’, beliau yakin objektif besar pembabitan individu-individu berkenaan di dalam PRU15 hanya demi kelangsungan politik peribadi semata-mata.

“Dan saya rasa ini sangat merisaukan dalam keadaan negara kita sebenarnya dalam fasa pemulihan kepada satu serangan atau impak besar daripada COVID-19.

Di tambah pula dengan situasi sekarang ini perang Russia dan Ukraine serta masalah kemelesetan yang mungkin menanti kita di tahun mendatang.

“Jadi pilihan raya kita sebenarnya berlaku dalam situasi begini… jadi sebab itu saya maksudkan dengan pilihan raya yang progresif,” katanya.

Beliau berkata, PRU15 sepatutnya berfungsi untuk rakyat yang matang dalam memilih bakal pemimpin mempunyai visi untuk membawa negara ke hadapan.

“Bermakna orang mencari yang terbaik untuk negara bukan menentukan siapa mendapat jawatan atau siapa ‘survive’ dalam politik ataupun tidak.

“Jadi, saya lihat PRU15 ini boleh jadi risiko besar kepada negara sekiranya pimpinan yang terpilih – mungkin kerana rakyat tidak matang atau kepimpinan tersebut guna manipulasi yang ada – tiada kemampuan.

“Bimbang mereka tiada ‘political will’ untuk memandu negara kita keluar daripada kemelut yang menanti,” katanya.

Tonton video;

https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/537309341548376/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button