Berita Utama

Ustaz Zamani janji Tampin akan membangun, peluang kerja terbuka luas

Kurangkan risiko rumah ditinggalkan dan tanah tergadai

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Tampin bakal berubah dan peluang pekerjaan akan terbuka luas dengan pembangunan yang mantap sekiranya calon Pejuang diberikan mandat rakyat.

Malah, industri mesra alam akan turut dibangunkan bagi membuka peluang pekerjaan sekali gus dapat mengurangkan faktor penduduk setempat berhijrah ke bandar besar.

Calon Pejuang di Parlimen Tampin, Ustaz Zamani Ibrahim memberi jaminan perkara tersebut akan direalisasikan sekiranya Pejuang diberikan mandat rakyat di kawasan berkenaan.

“Apabila dipilih menjadi wakil rakyat saya akan memberikan fokus untuk memajukan Tampin dan pertama sekali kita lihat isu peluang pekerjaan .

“Saya mampu untuk membawa industri di sini, penduduk tak perlu lagi berpindah randah, sebaliknya kekalkan kehidupan di Felda dan mencari sumber kehidupan di tempat sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Zamani berkata, di Tampin banyak kawasan Felda namun sayang sekali apabila rumah berkenaan sudah dibiarkan dan berada dalam keadaan rosak kerana berhijrah ke luar,” katanya.

Anak jati Tampin itu juga berikrar apabila pembangunan dijayakan generasi Felda kedua akan berpeluang untuk bekerja di kampung halaman sendiri.

Keadaan tersebut bukan sahaja dapat memberi khidmat di kampung halaman, tetapi juga dapat mengurangkan risiko penjualan tanah kepada pihak luar.

“Hari ini masalahnya penduduk Felda keluar ke Kuala Lumpur, Shah alam maka tinggallah kampung-kampung dan jual tanah itu kepada mereka yang mampu beli.

“Sayang sekali yang membelinya bukan orang Melayu akhirnya tanah tergadai.

“Sedangkan kampung itu telah diteroka oleh orang tua mereka tetapi anak-anak tak dapat mempertahankan kampung,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun kerajaan telah membuat projek untuk rumah kedua namun kawasan berkenaan telah terbengkalai.

“Tiada siapapun yang duduk rumah itu, kerana mereka perlukan sumber kehidupan untuk bekerja,” katanya.

Atas dasar itu, Ustaz Zamani merayu seluruh penduduk di Parlimen Tampin supaya membuat pilihan tepat demi depan negara yang lebih baik.

“Pilihlah saya demi masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button