Berita Utama

Isu sekolah padat, pembinaan hospital selesai jika Pejuang menang di Kapar

'Saya anak jati Kapar, faham denyut nadi rakyat'

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Isu pelajar padat dalam sesi persekolahan dan pembinaan hospital antara perkara utama akan diselesaikan sekiranya Calon Pejuang diberikan mandat di Parlimen Kapar.

Calon P109, Ustaz Mohd Pathan Hussin berkata, masalah pendidikan perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan masalah sosial membabitkan remaja berlarutan.

“Kita maklum sekolah paling padat di Kapar dan saya berjanji sekiranya diberikan mandat perkara ini akan diselesaikan terlebih dahulu.

“Begitu juga dengan pembinaaan hospital khusus untuk penduduk Kapar, memandangkan kami telah di gula-gulakan selama ini. Kononnya akan ada sebuah hospital di kawasan ini, namun sayangnya janji itu tidak direalisasikan sehingga hari ini.

“Jadi, sekiranya Pejuang berjaya, kita akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapat dana dan peruntukan membina sebuah hospital di kawasan ini,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net,

Mengulas lanjut, Mohd Pathan melahirkan keyakinan untuk mendapat tempat di Kapar memandangkan beliau mempunyai pengalaman bertanding pada Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.

“Sebagai anak jati Kapar, saya berikrar akan memberi bakti sepenuhnya berikutan faham dan tahu masalah sebenar di sini,” katanya lagi.

Beliau pada masa sama, menggesa anak muda menggunakan peluang yang diberikan untuk menunaikan tanggungjawab dan memilih pemimpin yang layak dan berwibawa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button