Berita Utama

Demi integriti, ahli politik perlu isytihar harta

Buktikan diri bebas dari sebarang penyelewengan

BANGI, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Ahli politik tidak perlu takut untuk mengisytiharkan harta sekiranya tidak melakukan sebarang kesalahan.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, pasti ada sesuatu sehingga menyebabkan ahli politik enggan mengisytiharkan yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan pihak berkuasa dan masyarakat.

“Tindakan mengisytiharkan harta sebelum bertanding, dan lebih baik lagi selepas memegang jawatan, dan ia jelas mencerminkan ketelusan dan integriti ahli politik.

“Kebanyakan ahli politik kita tak mahu isytihar sebab ‘ada udang di sebalik batu’, sebab kalau sudah jadi ahli politik selama berpuluh tahun, sukar untuk jelaskan harta berkenaan,” katanya.

Bahkan, katanya, menjadi tanggungjawab kepada ahli politik untuk mengisytiharkan semua harta sekali gus membuktikan dirinya bebas daripada melakukan sebarang penyelewengan.

“Saya rasa ini patut dilakukan oleh semua calon, hendaklah tunjukkan kepada masyarakat bahawa tidak salah jika kekayaan itu dimiliki tanpa terlibat dengan rasuah,” katanya.

Akhbar berkata, setiap ahli politik perlu tampil berani mengakui kekayaan mereka yang boleh memberi jaminan untuk membantu rakyat.

Tambahnya, ahli politik perlu berani mengakui memiliki wang yang banyak dan kemudian kekayaan itu seharusnya dimanfaatkan membantu mensejahterakan kehidupan rakyat yang memilihnya.

Sebelum ini, Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim menyuarakan saranan supaya semua ahli politik tidak kira muka baharu ataupun lama, yang  bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajar tampil mengisytiharkan harta secara sukarela.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button