Berita Utama

Kebajikan pekerja ekonomi gig antara manifesto calon Pejuang Bangi

Tumpu juga masalah kesesakan, kos yuran pengasuh tinggi

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Isu kebajikan dan keperluan perlindungan sosial pekerja di dalam sektor ekonomi gig menjadi salah satu fokus bagi calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Parlimen Bangi, Annuar Salleh dalam kempennya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, isu kebajikan pekerja ekonomi gig kini perlu diberi perhatian memandangkan pembabitan sektor itu dilihat semakin rancak di kawasan bandar seperti Bangi, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Annuar berkata, situasi pandemik yang berlaku dua tahun lalu telah memacu sektor ekonomi gig khususnya di kawasan bandar, sebagai peluang menjana pendapatan bagi rakyat.

“Dan kita sedia maklum, di Bangi ini juga kita lihat ramai pekerja ekonomi gig membabitkan penghantar makanan seperti Food Panda dan Grab Food serta beberapa lagi syarikat lain yang menawarkan perkhidmatan sama yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

“Atas sebab itu, kita melihat keperluan terhadap sebuah polisi kebajikan dan perlindungan sosial kepada mereka seperti caruman Perkeso, KWSP dan insurans berkaitan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut memahami keluhan masyarakat setempat terhadap masalah kesesakan yang kerap berlaku di sekitar Bandar Baru Bangi.

“Kita memahami mengenai keadaan kesesakan yang berlaku di Bangi, termasuk hal-hal lain termasuklah kos sara hidup serta kos bayaran yuran pengasuh bagi pasangan yang bekerja.

“Kos yuran asuhan anak di sekitar Bangi ini mencecah RM400 hingga RM600 seorang yang kita faham ia membebankan generasi belia hari ini, dan perkara itu juga antara isu yang kita pandang serius untuk warga Bangi,” katanya.

Justeru, beliau berharap pengundi di P102 Bangi boleh membuat penilaian dan memberi peluang kepada Pejuang mewakili penduduk kawasan itu dan mengangkat suara mereka ke Parlimen.

Annuar berdepan tujuh pencabar lain membabitkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan tiga calon Bebas di kerusi Parlimen Bangi pada PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button