Kota Raja hab pelancongan, jana ekonomi antara manifesto Fahmi Bazlan
Bantu anak muda lanjutkan pelajaran ke universiti

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
SHAH ALAM, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Fahmi Bazlan Muda bertekad membawa lebih banyak perubahan di Kota Raja antaranya aspek ekonomi.
Hasrat itu disuarakan kerana beliau sedar peluang pekerjaan bagi anak muda pada masa ini sukar, tidak terkecuali kepada golongan wanita susulan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Justeru, Fahmi berhasrat mahu memperkasakan pusat komuniti dengan menggunakan fasiliti yang ada sekiranya mendapat mandat sebagai wakil rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
“Kalau tak menang pun kita akan mewujudkan sekurang-kurangnya tiga pusat komuniti di ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning, Sungai Kandis dan Sentosa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Ismaweb.net selepas pengumuman calon di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Seksyen 32 di sini, semalam.
Pada masa sama, calon Pejuang itu juga mahu membantu ‘perbaiki’ masa depan anak muda di Kota Raja melalui pendidikan.
“Kita menyasarkan lebih daripada 30 peratus pelajar lepasan sekolah melanjutkan pelajaran ke universiti sekurang-kurangnya ke kolej vokasional. Itu kita akan buat dari semasa ke semasa,” katanya.
Selain itu, Fahmi berhasrat untuk memperkasakan Kota Raja sebagai hab pelancongan sekali gus mampu menjana ekonomi kawasan berkenaan.
Usaha itu baginya tidak mustahil dilakukan namun dipandang sepi oleh pihak terlibat.
Bahkan, beliau yang bergiat aktif membantu mangsa banjir sebelum ini ingin menangani kejadian sama yang menyebabkan ribuan penduduk mengalami kerugian.
Katanya, isu banjir di Kota Raja sangat ketara malah sebahagian besar kawasan itu terbabit dengan banjir besar.
“Punca kita sudah kenal pasti. Apabila kita turun ke kawasan-kawasan, kita tengok sistem saliran tidak ‘diupgrade’.
“Di peringkat awal dulu penduduk yang ada sedikit, sekarang penduduk ramai pun longkang yang sama.
“Selepas itu permukaan tanah semakin kurang disebabkan bangunan-bangunan besar. Kita melihat bahawa perkara tersebut boleh diperbaiki pada masa akan datang. Infrastruktur mesti kelas A sepatutnya di Kota Raja ini,” katanya.