Berita Utama

PN lancar manifesto malam ini, BN esok

Zahid pernah jamin kekalkan sekolah vernakular

BANGI, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan manifesto tawaran untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Hotel Glenmarie dan Golf Resolf di Shah Alam, malam ini.

Isu ekonomi, alam sekitar, pendidikan dan wanita dijangka antara yang akan dititik beratkan dalam manifesto gabungan itu.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN sedang memperincikan semua perkara yang disifatkan penting untuk diambil kira supaya boleh dilaksanakan dan ditunaikan untuk rakyat.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) turut mengumumkan pelancaran manifestonya yang akan dilakukan secara langsung menerusi media sosial, termasuk pengedaran bahan bercetak di setiap pusat daerah mengundi (PDM) seluruh negara esok.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menggariskan 10 teras dan 99 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat terutamanya kumpulan B40 dan M40, juga termasuk golongan T20.

Katanya, kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang stabil, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta pendidikan antara keutamaan manifeston BN pada PRU15 kali ini.

“Kita mahu soal kesejahteraan rakyat diberikan keutamaan, jadi kita harus menentukan langkah-langkah untuk menentukan bahawa ia tidak akan memberi kemudaratan yang berat kepada rakyat.

“Di samping itu, kita juga mahu terus menggamit pelaburan langsung asing (FDI), pelaburan langsung domestik (DDI) supaya pelabur boleh melabur semula bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan nilai eskport,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid Ahmad ketika berucap di Perhimpunan Agung MIC pernah memberi jaminan untuk mengekalkan sekolah-sekolah vernakular di negara ini sekiranya parti itu diberikan mandat semula dalam PRU15.

Jaminan itu dinyatakan Ahmad Zahid yang turut menyifatkan kononnya sekolah vernakular adalah hak masyarakat majmuk di Malaysia.

“Saya yakin jika BN menjadi kerajaan semula soal sekolah India, Cina dan vernakular akan terus dikekalkan dalam sistem pendidikan negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button