Prabakaran desak Tian Chua tarik diri, takut PH kalah Parlimen Batu
Bimbang pecah-belah undi kerana ramai calon bertanding

KUALA LUMPUR, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – P. Prabakaran menggesa Tian Chua menarik diri daripada bertanding di Parlimen Batu kerana bimbang kerusi itu terlepas daripada cengkaman Pakatan Harapan (PH).
Prabakaran, yang merupakan penyandang Parlimen Batu berkata, tindakan bekas Naib Presiden PKR itu, yang nama sebenarnya Chu Tian Chang, boleh memecah-belahkan lagi undi di kawasan yang sudah ramai calon itu.
“Saya kecewa perkara ini berlaku, kerana beliau (Tian Chua) banyak membantu saya sejak empat tahun lalu.
“Jika beliau tidak berundur, ini akan mengelirukan pengundi dan hanya menjejaskan parti.
“Pakatan tidak mampu kehilangan walaupun satu kerusi,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.
Pada Sabtu (5 November), Tian Chua, menghantar kertas pencalonannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu sebagai calon Bebas pada PRU15.
Tian Chua pula dahulu pernah menyandang kerusi Parlimen Batu selama dua penggal.
Pada PRU14, Tian Chua – yang telah hilang kelayakan daripada bertanding – dikatakan berkempen dan menyokong Prabakaran yang bertanding sebagai calon Bebas dan akhirnya menang.
Batu mempunyai 10 calon yang bersaing untuk kerusi itu, yang paling ramai di negara ini.
Antara calon yang bersaing adalah Datuk A. Kohilan Pillay dari Barisan Nasional (BN), Azhar Yahya dari Perikatan Nasional (PN), Wan Azliana Wan Adnan dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), P. Naganathan dari Parti Warisan Sabah, Zulkifli Abd Fatah dari Parti Rakyat Malaysia dan beberapa calon Bebas.