Berita Utama

Punca bekalan telur ayam kurang sebab seludup

Harga telur ayam di Thailand lebih mahal berbanding Malaysia

KOTA BHARU, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Kekurangan bekalan telur ayam dalam negara ketika ini adalah berpunca daripada kegiatan penyeludupan ke negara jiran iaitu Thailand, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kegiatan itu berlaku berikutan harga telur ayam di Thailand lebih mahal berbanding di Malaysia.

“Bekalan telur ayam mengalami kekurangan lebih 100,000 biji sebulan, kita rayu supaya mereka yang terlibat dalam kegiatan ini agar tidak menyeludup ke Thailand.

“Kita tidak dapat tambah bekalan telur ayam dengan kadar segera memandangkan proses ayam gantian untuk menghasilkan telur baharu memerlukan tempoh sehingga empat bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada lebih 200 mangsa ribut dekat Kampung Tegayong, Melor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu kekurangan bekalan telur ayam dijangka dapat dipulihkan pada akhir Disember depan.

“Pihak kita pernah mengadakan perbincangan untuk import telur ayam tetapi kita dapati harganya lebih mahal berbanding Malaysia,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button