Berita Utama

Tak bincang isu PN gabung pihak lain

Ada parti didominasi PH pernah keuar kenyataan singgung rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Perikatan Nasional (PN) tidak mengadakan sebarang perbincangan rasmi untuk bergabung dengan mana-mana pihak kerana tumpuan ketika ini adalah memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gabungan itu akan menggunakan peluang berkempen untuk meyakinkan rakyat tentang dasar PN yang properniagaan, mewujudkan pekerjaan serta menjamin kepedulian dan keprihatinan kepada rakyat.

“Tidak ada sebarang perbincangan rasmi untuk bergabung dengan mana-mana pihak kerana tumpuan kita (PN) adalah untuk kemenangan PN di kawasan yang kita bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan berkata BN sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti sekiranya gagal mendapat majoriti mudah.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga calon PN di Parlimen Gombak berkata, antara cabaran PRU15 bukan sahaja mempertahankan sokongan tetapi perlu mendekati hampir 70,000 pengundi baharu di parlimen itu.

Katanya, pengundi Gombak yang semakin pesat kini mencecah 206,000 pengundi berbanding 140,000 orang empat tahun lepas.

Beliau berkata, pengundi perlu memberi peluang kepada Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau yang menjadi Perdana Menteri ketika negara dilanda COVID-19 telah berjaya menguruskan negara yang berdepan krisis pandemik.

Mohamed Azmin berkata tumpuan Muhyiddin ketika itu adalah keselamatan rakyat serta mencergaskan semula ekonomi negara.

Menurut Mohamed Azmin, Pakatan Harapan (PH) pernah mendapat sokongan rakyat namun ketika berkuasa mentadbir negara, ada parti yang mendominasi PH telah mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Katanya, ini terbukti apabila kekalahan PH dalam enam Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika gabungan itu memerintah negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button