Terengganu sedia 200 bas bawa pulang pengundi luar
Ramai bersemangat mengundi satu petanda positif

KUALA TERENGGANU, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Kira-kira 200 bas disediakan oleh kerajaan negeri Terengganu untuk membawa pengundi luar pulang ke negeri itu pada hari mengundi, kata Hishammuddin Abdul Karim.
Pengarah Komunikasi PAS negeri itu berkata, ini menunjukkan petanda positif bahawa lebih ramai orang mahu terlibat dalam pilihan raya kerana mereka bersemangat untuk kembali mengundi walaupun terpaksa kembali semula untuk pilihan raya negeri tahun depan.
Sementara itu, Hishammuddin menafikan dakwaan PAS bergantung kepada pengundi luar untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebaliknya berkata, kerajaan negeri bertujuan membantu rakyat.
“Dakwaan kita terlalu bergantung kepada pengundi luar adalah tidak benar kerana pengundi bukan sahaja (yang menyokong) PAS tetapi juga rakan pesaing kita.
“Ia adalah inisiatif kerajaan negeri dan bukan hanya PAS. Kita tidak tanya mereka ‘bendera’ mana yang mereka sokong.
“Paling penting mereka kembali mengundi, itu tugas kerajaan,” katanya kepada media pada sidang media Perikatan Nasional PRU15, hari ini.
Beliau berkata, walaupun pengundi luar mahu menukar pusat mengundi mereka, ia terpulang kepada pengundi.
Kerajaan negeri hanya memberi peluang kepada semua pengundi luar untuk kembali ke negeri ini, katanya.
“Tugas kita adalah untuk memenangi hati pengundi, baik mereka yang berada di Terengganu sekarang mahupun pengundi luar,” katanya.