Berita Utama

CUEPACS mohon cuti umum khas sehari sebelum mengundi

Bolehkan rakyat ada masa tunai tanggungjawab

BANGI, 12 Rabiulakhir 1444H, Isnin – CUEPACS menggesa kerajaan memberi cuti umum khas sehari sebelum hari mengundi supaya rakyat mempunyai tempoh masa yang cukup pulang ke kampung atau ke lokasi pengundian.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, cuti umum tambahan dilihat wajar memandangkan ramai rakyat di negara ini tidak mengundi di lokasi mereka bekerja dan tinggal.

”Walaupun tarikh hari mengundi jatuh pada hari Sabtu dan kebanyakan rakyat tidak bekerja pada hari itu tetapi ada dalam kalangan pengundi perlu melakukan perjalanan lebih daripada empat jam.

“Begitu juga dengan penduduk Labuan, Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung, jadual penerbangan yang terhad mungkin menyukarkan mereka untuk pulang pada hari mengundi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, CUEPACS bimbang ada majikan yang tidak membenarkan pekerja memohon cuti awal untuk pulang ke lokasi mengundi, walaupun setiap pekerja mempunyai cuti tahunan dan layak mengambilnya.

Katanya, pemberian cuti umum khas ini diyakini boleh mengelakkan perkara sedemikian berlaku.

“Pilihan raya pada lazimnya berlaku lima tahun sekali dan adalah wajar kerajaan memberi cuti umum khas.

“Perkara ini tidak menjadi halangan yang berat kerana sebelum ini ia pernah dilakukan apabila kerajaan memberi cuti umum tambahan dua hari selepas hari mengundi pada 2018,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button