Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Durian Batu Kurau jadi tarikan, calon Pejuang mahu majukan sektor pelancongan

Pastikan anak-anak Batu Kurau dapat pendidikan berkualiti, masuk sekolah asrama penuh

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

LARUT, 12 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Calon Pejuang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N07 Batu Kurau, Cikgu Zulkifli Yahya mahu membawa transformasi besar dalam sektor pelancongan serta penambahbaikan infrastruktur di kawasan tersebut.

Ini kerana, Batu Kurau – sebuah mukim dalam daerah Larut Matang, yang terletak kira-kira 23km dari Taiping – mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Apatah lagi, Batu Kurau masyhur dengan penghasilan duriannya dan sering menjadi tumpuan rakyat Malaysia yang sememangnya penggemar durian.

Bagaimanapun, beliau melihat jalan raya untuk ke kawasan tersebut tidak dinaik taraf sejak sekian lama.

“Perubahan saya nampak yang perlu kita fokus ialah pertama, Batu Kurau ini masyhur dengan durian. Bila sebut durian Baru Kurau ini, terkenal. Dan setiap musim bila tiba, kita lihat ramai pengunjung datang ke Batu Kurau.

“Tetapi kita lihat berlaku kesesakan. Jadi kita lihat pihak pimpinan tiada satu inisiatif untuk membesarkan jalan, menaiktarafkan jalan dan sebagainya.

“Sebagai contoh kita lihat Kampung Semeneh, terkenal dengan lata, air terjun dan sebagainya dan juga tempat hasilnya durian. Jalan nak pergi ke situ sudah 60 tahun. Itulah rupa jalannya. Kalau besar enam kaki, itulah enam kakinya. Itu menyebabkan berlakunya kesesakan,” katanya.

Cikgu Zulkifli yang juga Setiausaha Agung BERJASA berkata, antara perkara utama yang perlu dibangunkan di Batu Kurau adalah infrastrukturnya.

“Banyak jalan-jalan kampung yang masih lagi bertaraf jalan kampung yang hanya enam kaki lebar. Jadi ini menyusahkan penduduk kampung bila berlaku selisih kenderaan dan sebagainya,” katanya.

Malah, di resort penginapan sekitar juga dilihat tidak diurus dengan baik sehingga tumbuhnya cendawan di chalet kawasan Sungai Sempeneh itu sedangkan ramai yang berhasrat mengunjunginya.

“Orang nak pergi ke sini, memang permintaan tinggi. Tapi kawasan di sini agak sesak, orang pun ambil keputusan tak pergi. 

“Pemimpin kena lihat isu ini. Apakah aspek yang kita boleh bangunkan di Batu Kurau ini. Maka saya nampak potensi pelancongan penting di Batu Kurau. Produknya adalah produk durian,” katanya lagi.

Selain itu, Cikgu Zulkifli turut cakna akan aspek pendidikan anak-anak di Batu Kurau yang perlu diperjuang untuk dimajukan.

“Saya juga nampak bahawa kita kena bangunkan soal pendidikan anak-anak. Kita lihat waktu di sekolah rendah itu, anak-anak tidak didedahkan dengan pendidikan yang baik dan berkualiti, akhirnya kita lihat mereka sekadar lulus sahaja dan masuk sekolah-sekolah harian.

“Kita mahu ramai anak-anak Batu Kurau berjaya masuk ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau pun Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

“Ini peluang mereka untuk mereka meningkatkan lagi potensi mereka sebagai seorang pelajar dan mungkin ke luar negara dan sebagainya

“Ini akan memberi impak kepada masa depan penduduk Batu Kurau,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button