GTA tak rasis, cuma nak Melayu jadi ketua di negara sendiri
'Ini bumi kita, hanya orang Melayu layak tadbir'

Oleh Zuhayati Yazid
KLANG, 12 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Gerakan Tanah Air (GTA) tidak pernah bermusuh dengan bukan Melayu, agendanya mahu mengangkat orang Melayu yang akan melindungi kaum-kaum lain.
Atas dasar itu, hanya orang Melayu diyakini mampu menguruskan tanah Melayu ini kerana lebih faham dengan keadaan tanah airnya sendiri.
Calon GTA-Pejuang di Parlimen Kapar Ustaz Mohd Pathan Hussin berkata, untuk memajukan tanah Melayu, mestilah orang Melayu yang mentadbir dan memerintah.
“Percayalah, bangsa Melayu mampu memayungi kaum lain dan menjadi tonggak kepada kepimpinan Malaysia yang lebih baik.
“Kita bukan parti rasis atau bermusuh dengan bangsa lain tetapi kita mahu orang Melayu jadi bangsa yang kuat dan jadi ketua di tanah air sendiri.
“Apabila tanah Melayu makmur kaum lain akan datang mencari rezeki di bumi ybertuah ini,” katanya ketika berucap dalam ceramah umum di Kampung Perapat, Klang, malam ini.
Mengulas lanjut, Mohd Pathan yang merupakan anak jati Kapar itu menjelaskan hanya orang Melayu sahaja yang akan lebih faham bagaimana untuk memajukan tanah airnya sendiri.
Justeru, itu tegas beliau, jangan sesekali memberi peluang kepada bangsa lain untuk menjadi ketuanan di tanah air yang kita sayangi.
“Bumi ini bumi kita dan hanya kita yang tahu dan layak mentadbir, jangan sesekali bagi kepada orang lain yang hanya akan membawa musibah kepada bumi ini,” katanya.
Sekiranya berlaku, bukan orang Melayu sahaja yang menanggung tetapi orang luar yang mencari rezeki juga menerima padah, selain anak cucu kita akan berdagang di negara sendiri.
“Inilah hakikat yang perlu rakyat Malaysia terima sekiranya bangsa lain menjadi ketua di tanah air kita,” katanya.