Jangan permain isu agama sepanjang kempen
Hormat kontrak sosial yang kita dapat sejak kemerdekaan

BANGI, 12 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Semua calon dan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) perlu menghormati sensitiviti agama sepanjang tempoh berkempen.
Isu berkaitan agama tidak wajar disentuh kerana ia boleh mengganggu gugat ketenteraman awam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.
“Semua kena hormat tentang prinsip atau yang telah semua terima pakai sejak kontrak sosial ketika kita mendapat kemerdekaan lagi.
“Oleh itu kita mengharapkan tiada pihak yang cuba untuk menyentuh sensitiviti soal Islam dan mempermainkannya,” katanya.
Beliau yang juga calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Bagan Serai berkata, sebagai sebuah negara yang terkenal dengan budaya penuh sopan santun, amalan itu perlu dikekalkan setiap masa.
Tegasnya, prinsip tersebut yang perlu dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak di negara ini.
“Pentas pilihan raya merupakan mencari kemenangan dan pengaruh namun tidak seharusnya menyentuh sensitiviti kaum dan agama di negara kita,” katanya.