Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Artikel Khas

Selagi berpecah, kita akan terus jadi pengemis politik ultra kiasu

Halang PH dari memerintah, bimbang UEC diiktiraf

SEJARAH dalam politik negara, pertembungan lebih empat penjuru, tidak menguntungkan Melayu Islam. Sanggup mengemis demi secebis undi.

Ketua ultra kiasu kata, tidak ada ketuanan Melayu, hanya ada ketuanan Malaysia. Sejak bila ada ketuanan Malaysia?

Malangnya, semua pemimpin PH diam. Sedangkan kita semua tahu, ketuanan Melayu hanya kepada merujuk kepada Melayu sebagai penduduk asal. Tidak lebih dari itu.

Idea ketuanan Malaysia sengaja diketengah bagi menunjukkan negara ini asal-usulnya sudah berwarna-warni? Sila buktikan?

Paling malang, sekali lagi. kita berjanji bulan bintang, sanggup mengiktiraf UEC dan berjanji mengekalkan sekolah vernakular, walaupun ia bukan isu lagi. Hina sungguh politik sebegini.

PH terus dengan naratif mahu mengiktiraf UEC dalam manifestonya. BN kata akan teruskan sekoleh vernakular.

Perlukah perkara ini diulang dan diulang. Apa kepentingannya kepada pembinaan negara bangsa?

Sudahkah dibuat kajian, berapa ramai keluaran UEC dan sekolah vernakular, fasih berbahasa Melayu dan boleh berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik dalam bahasa negara ini? Cuba lihat gelagat lepasan UEC di Parlimen.

Saya tidak mahu ulas soal vernakular kerana mahkamah pun telah membuat keputusan bahawa ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Saya lebih teruja dengan UEC yang mahu diiktiraf oleh PH jika berjaya dalam PRU15.

Kenapa UEC dibangkitkan setiap kali Pilihan Raya Umum? Apa istimewa isu UEC ini, terutama dalam mengemis undi Cina? Bukankah UEC sudah diiktiraf di negeri-negeri PH memerintah seperti Sarawak, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka (sehingga terpaksa diteruskan oleh BN apabila memenangi Melaka)? Apakah keperluan PH sehingga mahu mengiktiraf di peringkat nasional?

Kenapa tidak tawarkan sekolah persendirian seperti UEC kepada orang India? Jelas sekali hipokrasi politik dalam kalangan kita.

UEC tidak boleh disamatarafkan dengan apa jua sijil di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang setara seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), SMA/SMU dan sebagainya kelolaan kerajaan.

SPM dan SMU/SMA kelolakan oleh kerajaan dengan prosedur ketat, selaras dengan Dasar dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Manakala UEC adalah sekolah persendirian yang dibina oleh sebuah NGO ultra kiasu Cina, yang mereka sendiri yang menjadi lembaga dan pengelolanya. Bermula penyediaan silibus sehingga kepada peperiksaannya.

Boleh dikatakan tidak sistem sebegini dalam dunia. Kenapa terus dibiarkan? Tidak ada seorang pun Menteri Pendidikan setakat ini yang berani bertegas. Semua mahukan undi.

Dalam UEC, mereka (NGO ultra kiasu Cina) itu sendiri yang merangkakannya tanpa merujuk kepada kepada pihak yang berkuasa Pendidikan negara, seperti proses persijilan lain yang dikelola oleh kerajaan. Tiba-tiba mereka mahu ia diiktiraf. Apakah PH tidak tahu semua ini? Nasib baik PH hanya bertahan 22 bulan, jika tidak pasti UEC sudah diiktiraf. Jika PRU15 berpihak kepada PH, pasti UEC akan terus diiktiraf.

Sekadar mengulangi dan mengingatkan sekali lagi, perbandingan antara UEC dengan sijil-sijil Kementerian Pendidikan adalah amat tidak wajar sama sekali dilakukan.

Begitu juga dengan kelayakan guru-gurunya, terutama dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah serta banyak lagi, jika mahu diperkatakan.

Silibus Bahasa Melayu dan Sejarah begitu berbeza dengan subjek yang sama di peringkat SPM. Bahasa Melayu UEC jauh lebih mudah berbanding dengan BM SPM/SMA/SMU. Pelajar UEC tidak boleh disusahkan dengan BM kerana akan menjejaskan penguasaan bahasa Cina.

Sama juga dengan subjek Sejarah, jauh sekali untuk menerangkan sejarah negara ini mengikut perspektif yang sebenar. Malahan, sejarah Tanah Besar China, lebih diberikan perhatian, berbanding sejarah tanah air sendiri.

Kita cukup hairan kenapa kerajaan daripada dahulu hingga sekarang tidak bertegas dengan pendidikan sebengini dan terus membiarkannya, sehingga mendapat pengiktirafan, dalam dan luar negara.

Justeru, saya merasa pelik kenapa isu UEC tidak pernah selesai secara tuntas. Semakin ramai lulusan ini mendapat tempat di universiti Taiwan dengan tawaran biasiswa oleh universiti di sana. Ini belum termasuk universiti swasta lain, seperti Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

Lebih malang lagi, sejak tahun 2011, UEC ini sudah diterima bagi kemasukan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) kepada mereka yang ingin mengkhusus dalam pengajaran Bahasa Cina.

Kita tidak pernah menolak melarang sesiapapun untuk belajar Bahasa Cina telah bukannya mengajar dalam Bahasa Cina. Pandangan ini dikemukakan oleh Pakar Perlembagaan, Prof Shad Faruqi. Tidak ketinggalan sejarawan ulung, mendiang Prof Dr Khoo Kay Kim.

Ketegasan Perdana Menteri, Ismail Sabri dalam pertemuannya dengan pemimpin Persatuan Cina (Hua Zhong), sejurus menjadi Perdana Menteri, dengan tegas mengatakan bahawa kerajaan tidak pernah menyatakan akan mengiktiraf UEC.

Sebaliknya, Ismail Sabri menegaskan UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa hadapan. Perdana Menteri sebegini yang kita perlukan. Lembut dalam tegas, bukannya menjadi pengemis politik.

Seperti yang telah ditegaskan, UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya bukan sahaja berkiblatkan kepada Taiwan, tetapi juga ditentukan oleh Persatuan Cina tersebut. Sebab itulah universiti di Taiwan begitu mudah menerima mereka.

Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, dengan pengiktirafan UEC ini kita bukan sahaja tidak berlaku adil kepada dasar negara, tetapi juga kepada pelajar-pelajar Cina yang berada dalam aliran kebangsaan, termasuk yang berada di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC), yang bertungkus lumus belajar bersama dalam aliran kebangsaan. Tiba-tiba UEC datang menutup peluang itu. Tidakkah kita berlaku zalim terhadap mereka semua?

Sedarlah masyarakat Cina yang tidak ultra kiasu. Kamu selama ini telah ditipu oleh ultra kiasu. Kamu mesti halang ultra kiasu dalam PH yang mahu meruntuhkan pembinaan negara bangsa ini.

Kepada semua pengundi, pastikan PAS dan GTA mendapat lebih 30 kerusi dalam PRU15 pada 19 November ini. Bilangan kerusi ini akan dapat menghalang PH daripada memerintah atau wujudnya kerajaan perpaduan bersama UMNO-PH. Bilangan itu sudah lebih daripada cukup untuk menjadi ‘king maker’, untuk menghalang kerajaan tersebut, jika benarlah ada rundingan pintu belakang antara UMNO-PH untuk membentuk kerajaan perpaduan, jika tidak mendapat majoriti.

Kita lebih rela, UMNO-PN (PAS), GTA bersama dalam kerajaan perpaduan, tetapi bukan bersama PH. Cukuplah dengan 22 bulan PH memerintah sejurus menang PRU14 yang lalu, terus mahukan UEC diiktiraf. Kaji secara mendalam dahulu, baharu buat keputusan.

Satu lagi perkara yang mungkin menjadi tanda tanya, jika sekiranya BN tidak bersama PH, tetapi bersama PN, dan mereka berjaya membentuk kerajaan perpaduan, apakah UEC akan diiktiraf sekiranya parti komponen Cina seperti Gerakan/MCA mendesak?

Semua ini tidak mustahil, kerana itulah politik, terpaksa tunduk demi kuasa, kerana selagi umat Islam berpecah, selagi itulah kita akan terus rugi dan rugi.

PROF DR RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button