Berita Utama

Tambah baik sistem kesihatan fokus utama calon Pejuang Indera Mahkota

Fasiliti hospital daerah masih jauh ketinggalan: Dr Mohamad Nor

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

KUANTAN, 12 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Ketika ini Malaysia dilihat berdepan pelbagai isu baik daripada sistem pendidikan, sistem ekonomi, sistem alam sekitar dan antara yang paling penting adalah sistem kesihatan.

Calon Pejuang Parlimen P082 Indera Mahkota, Dr Mohamad Nor Sundari berkata, berdasarkan pengamatannya sebagai ahli perubatan, beliau merasakan antara masalah besar di Malaysia adalah kekurangan fasiliti kesihatan.

“Kalau kita lihat di hospital-hospital di negara kita terutama di daerah kebanyakan fasiliti kesihatan masih jauh ketinggalan.

“Kita juga dapati Malaysia masih kekurangan penyelidikan dalam kalangan pakar perubatan dan juga pakar kesihatan. Ini teruji bila mana kita menghadapi COVID-19.

“Selain itu, kita juga kekurangan kepakaran yang terlibat dalam penyelidikan perubatan berteknologi tinggi.

“Contohnya, saya sebagai seorang pakar perubatan yang banyak menggunakan alat perubatan, kebanyakan alat-alat ini diperbuat daripada negara luar yang dicipta daripada negara-negara maju, peralatan perubatan ini sepatutnya boleh dicipta di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mohamad Nor yang juga Pakar Perunding Bedah Ortopedik melihat peluang bagi doktor tempatan untuk menjadi pakar agak terkekang dek kerana dasar dalam kerajaan.

“Kalau kita lihat masalah kesihatan lain, di negara kita yang khusus kepada doktor-doktor yang telah keluar dari bidang perubatan, peluang untuk menjadi pakar itu kurang bila ada kekangan dari segi penjawatan.

“Setelah kita berada dalam misi-misi perubatan ini, kita rasa banyak perkara besar yang kita tidak boleh lakukan memandangkan kita dikekang oleh dasar-dasar kerajaan hingga kita tidak boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.

Justeru, Dr Mohamad Nor berkata, peluang menjadi Ahli Parlimen Indera Mahkota adalah platform yang baik untuk mengetengahkan masalah ini dan mencari solusinya.

Bukan hanya itu, beliau juga akan menaiktarafkan kehidupan penduduk di kawasan tersebut demi kesejahteraan masyarakat setempat.

“Saya akan berada di Parlimen Indera Mahkota. Indera Mahkota adalah satu Parlimen yang besar, yang mempunyai jumlah penduduk yang padat.

“Jadi dari segi lokaliti saya akan cuba untuk membangunkan ekonomi dalam masyarakat Indera Mahkota.

“Yang kedua saya melihat bagaimana fasiliti kesihatan dapat ditingkatkan dan kita juga mempelopori aspek penjagaan kesihatan serta pendidikan kesihatan.

“Jika penjawatan dapat dikawal dan dapat diselenggarakan dengan baik. Ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk pergi lebih jauh lagi dalam bidang kepakaran masing-masing,” katanya.

Dr Mohamad Nor berpengalaman dalam banyak misi-misi kemanusiaan ke Gaza, Acheh termasuk bencana banjir di Pantai Timur.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button