Berita Utama

Manifesto BN-PN bersifat populis, bukan untuk jangka panjang

Sebaiknya sedia kail untuk rakyat berdikari tingkatkan taraf hidup

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 13 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Tawaran pemimpin politik wajar bersifat jangka panjang yang boleh membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat, dan bukan sekadar janji manis sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semata-mata.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izzani Mohd Zain berkata, kebanyakan tawaran yang dikemukakan pemimpin politik hari ini hanyalah bersifat populis dan memfokuskan untuk tujuan jangka pendek.

Beliau berkata, kebanyakan manifesto yang ditawarkan oleh parti politik semuanya lebih bersifat jangka pendek semata-mata.

“Kalau kita tengok tawaran yang diberikan oleh Barisan Nasional (BN) berhubung Skim Bantuan Pendapatan Asas jelas menampakkan kerajaan seolah-olah menawarkan janji manis kepada rakyat.

“Walaupun niatnya baik untuk membantu golongan bawahan seperti B40, namun tawaran berkenaan akan menyebabkan golongan berkenaan akan terus bergantung kepada kerajaan sahaja.

“Sepatutnya BN menawarkan skim yang boleh meningkatkan taraf kehidupan mereka bukannya umpan yang hanya bertahan untuk tempoh jangka pendek sahaja,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr Mohd Izzani berkata, sebaiknya kerajaan menyediakan kail untuk rakyat terus berdikari dan mencari peluang bagi meningkatkan taraf hidup mereka menerusi skim tertentu.

Begitu juga dengan tawaran Perikatan Nasional (PN), beliau berkata, janji pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar di dalam manifesto ‘PN Best’ dibimbangi memberi musibah kepada rakyat jika ia direalisasikan.

“Walaupun tawaran yang diberikan PN mampu memberi kelegaan kepada pengundi dan bersesuaian dalam keadaan hari ini selepas pasca pandemik, namun dalam masa sama PN juga perlu mengimbangi dan dan perlu berhati-hati supaya tawaran berkenaan tidak membawa kesan terus di masa depan.

“Mungkin kerajaan PN perlu mencari kaedah sesuai supaya pengeluaran berkenaan juga terus bertahan dan tidak menyebabkan pengeluar akan menjadi miskin selepas mereka pencen,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button