Pertubuhan hak asasi Palestin dedah diancam pengganas Israel
Guna kaedah mafia untuk sekat usaha dokumentasi pencabulan Zionis

GENEVA, 13 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Sebuah pertubuhan hak asasi manusia Palestin mendedahkan bahawa pihaknya berdepan ancaman dan kaedah mafia ketika kempen ketenteraan Israel.
Memberitahu kepada panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan Hak Asasi Manusia Al-Haq berkata, tindakan itu bagi menyekat usaha mereka mendokumentasikan tuduhan pencabulan rejim Zionis ke atas wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, Israel menolak proses yang diawasi oleh panel sebagai palsu, bahkan enggan mengulas mengenai dakwaan itu.
Suruhanjaya Siasatan Bebas (COI) yang ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia tahun lalu, merancang lima hari perbicaraan yang dikatakan tidak memihak dan meneliti dakwaan pihak Israel dan Palestin.
Dalam sesi pembukaan, suruhanjaya itu mendengar daripada wakil pertubuhan Palestin yang ditutup oleh Israel pada Ogos dan ditetapkan kononnya sebagai entiti ‘pengganas’.
Ketua Pengarah Kumpulan Hak asasi Manusia Al-Haq, Shawan Jabarin menyangkal dakwaan keganasan dan menyifatkan penutupan itu sebagai ‘keputusan sewenang-wenangnya’.
Katanya, pasukan keselamatan Israel telah menggunakan ‘kaedah mafia’ terhadap kumpulan itu dalam kempen gangguan selama bertahun-tahun.
“Mereka menggunakan segala cara, saya boleh katakan. Mereka menggunakan cara kewangan; kempen memburuk-burukkan dan ancaman,” katanya sambil berkata pejabatnya ditutup dengan pintu besi pada 18 Ogos lalu.
Diminta untuk memperincikan ugutan yang disebut kepada panel itu, Jabarin memberitahu Reuters selepas perbicaraan bahawa dia menerima panggilan telefon daripada seseorang yang dikenali sebagai ‘Shabak’ atau Agensi Keselamatan Israel, dua hari selepas serbuan itu.
Mereka mengugutnya dengan penahanan, soal siasat atau ‘cara lain’ jika dia meneruskan kerjanya.
Jurucakap misi diplomatik Israel di Geneva enggan mengulas mengenai keterangan khusus itu.
Jurucakap Kementerian Luar Israel dalam kenyataan berasingan pula mendakwa, COI dan usaha mengadakan perbicaraan palsu ini memalukan dan menjejaskan Majlis Hak Asasi Manusia.
Dakwanya, suruhanjaya itu mempunyai agenda ‘anti-Israel’.
Pejabat hak asasi manusia PBB sebelum ini menolak dakwaan berat sebelah dan berkata Israel tidak bekerjasama dengan tugas suruhanjaya itu. – Agensi