Berita Utama

Polis siasat dakwaan calon PN ceramah berunsur fitnah

Penyokong parti diminta patuh peraturan sepanjang kempen PRU15

IPOH, 13 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Polis Perak membuka kertas siasatan berhubung dakwaan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri Gunung Semanggol, Razman Zakaria menyampaikan ceramah berunsur fitnah dan berniat jahat terhadap Pakatan Harapan (PH).

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Laporan polis dibuat oleh seorang lelaki berumur 32 tahun berkaitan rakaman yang tular sejak Ahad lepas mengenai calon N11 PN ketika berceramah didapati mengandungi unsur fitnah dan berniat jahat serta ditujukan kepada kepimpinan PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis menasihatkan semua penyokong parti supaya mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 berlangsung terutamanya ketika berkempen.

Baru-baru ini, tular rakaman video menunjukkan Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak berceramah menggunakan mikrofon di kawasan pasar awam dan membuat beberapa dakwaan mengenai PH.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, sebanyak lima laporan polis harian diterima sejak semalam berkaitan PRU dan hanya satu kertas siasatan dibuka setakat ini.

Katanya, polis meluluskan permohonan permit 123 ceramah di seluruh negeri manakala 19 ceramah diadakan tanpa permit. –  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button