Berita Utama

PRU15: Jangan guna masjid, surau sebagai tempat kempen

Pasang bendera juga dilarang selaras garis panduan pihak berkuasa

BANGI, 13 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diingatkan supaya tidak menyalahgunakan masjid dan surau bagi memastikan institusi itu terpelihara daripada aktiviti kempen.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pemasangan bendera juga tidak dibenarkan berikutan pihak berkuasa telah mengeluarkan garis panduan berhubung perkara berkenaan sebelum ini.

“Pihak berkuasa sudah ada garis panduan sendiri dan saya yakin pihak masjid dan surau tidak terbabit dengan aktiviti pemasangan bendera parti di premis berkenaan.

“Saya menyeru supaya semua parti yang bertanding dengan suasana harmoni tanpa membabitkan institusi masjid,” katanya.

Beliau berkata, walaupun setiap individu mempunyai hak memilih, namun menyalahgunakan premis untuk tujuan tertentu adalah tidak dibenarkan.

“Untuk mengundi, berkempen atau menyokong mana-mana parti tidak mempunyai masalah, cuma tidak mahu masjid atau surau dijadikan tempat berpolitik,” kata calon PAS di Parlimen Pangkalan Chepa itu.

Sebelum ini, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menggesa supaya rumah ibadat seperti masjid, surau dan musolla di seluruh negara dijadikan sebagai ‘zon aman’ daripada pengaruh parti politik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button