Berita Utama

Rakyat ada GTA sebagai alternatif PRU15

Tiada parti lain tawar platform pada NGO, wakil swasta bertanding

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Gabungan parti yang tiada pengalaman jauh lebih baik berbanding parti mempunyai sejarah buruk ketika memerintah negara.

Justeru, tidak salah jika rakyat memberi peluang dan memilih Gerakan Tanah Air (GTA) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun gabungan itu masih dalam proses mendaftar.

Tidak seperti parti lain, menurut peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdullah, GTA memberi platform kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil swasta untuk bertanding, dan ia tidak pernah berlaku dalam sejarah selama tempoh 65 tahun.

“Dan kalau telah diberi alternatif maka pilihlah alternatif. Dalam PRN Johor, Melaka tidak ada alternatif tersebut, maka kita tidak boleh salahkan rakyat kerana bila pergi ke peti undi adanya BN, PN dan PH, tiada alternatif lain.

“Tetapi PRU15, rakyat diberikan satu alternatif. Apa salahnya mencuba sedangkan yang tiga lagi anda sudah hilang keyakinan mempunyai kelesuan. Saya syorkan pilih dengan betul calon yang berwibawa,” katanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Pada masa sama, beliau bersetuju bahawa rakyat memerlukan pilihan baharu untuk membersihkan budaya politik wang.

Beliau berpendapat, untuk politik bersih, semua pemimpin yang berdepan tuduhan salah guna kuasa mahupun rasuah di mahkamah tidak sepatutnya menawar diri menjadi calon sama ada daripada UMNO atau PH.

“Bukan kita mengatakan mereka bersalah tapi tanggungjawab utama bersihkan nama di mahkamah kemudian jadi calon.

“Bagaimana rakyat nak yakin bahawa PH, PN atau BN akan menjadi pilihan yang terbaik kali ini.

“Sedangkan bagi saya sudah tiba masanya rakyat sendiri kalau nak perubahan betul di dalam negara, mereka perlu berubah dan memilih apa yang telah diberikan sebagai alternatif. Sekarang kita ada GTA,” katanya.

GTA bertanding di lebih 121 kerusi Parlimen pada PRU15 yang menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sepanjang tempoh pilihan raya.

Pautan Dimensi;

https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/675189223980147

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button