10 tahun dalam penjara, Wan Azizah rayu bagi Anwar jadi PM
Ramai kata Anwar gelojoh, hanya layak jadi bakal PM

PUTRAJAYA, 14 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merayu kepada rakyat supaya memberi peluang kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu berkata, jika Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan majoriti wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri.
Azizah berkata, ramai mengatakan Anwar gelojoh mahu menjadi Perdana Menteri dan hanya layak sekadar menjadi bakal.
“Anda kena ingat, beliau sudah berada dalam penjara selama 10 tahun dan beliau juga tahu dan merasai derita rakyat. Kita doakan yang terbaik,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang bersama calon Pakatan Harapan (PH) Putrajaya, Noraishah Mydin Abdul Aziz anjuran Persatuan Wanita Anggerik Malaysia di Kelab Tasik Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh berkata, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi orang pertama ‘demam’ sekiranya beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri selepas menang PRU15.
Anwar mendakwa, selama ini beliau sudah banyak bersabar dengan bekas Perdana Menteri itu namun Dr Mahathir dilihat terus mencampuri urusannya.