Fahmi Bazlan akan pastikan penduduk Kota Raja dapat ‘untung’
Janji selesaikan isu kebajikan dan infrastruktur setempat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 14 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Calon Pejuang, Fahmi Bazlan Muda akan memastikan setiap polisi diputuskan di Parlimen dan kerangka yang diatur di peringkat nasional memberi keuntungan dan kelebihan kepada penduduk di Kota Raja.
Janji itu akan dikotakan sekiranya beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Raja yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Hasrat itu disuarakan selepas melihat tidak ada usaha yang konsisten, jelas dan tuntas untuk menyelesaikan sekecil-kecil hingga sebesar-besar isu yang membelenggu penduduk di kawasan berkenaan.
Fahmi berkata, beliau benar-benar terkilan apabila mendapat tahu nasib penduduk di Kota Raja ini dibiarkan seperti anak kehilangan bapa.
“Saya akan terus bekerja walaupun kalah atau menang. Kalau menang Insya-Allah kita akan terus berikan khidmat terbaik kepada Kota Raja dan saya akan buat satu ‘dashboard’ segala tawaran yang telah kita berikan.
“Kita akan tunjukkan ‘progress’ dari semasa ke semasa dan Insya-Allah masyarakat boleh melibatkan diri dalam kepimpinan bersama dengan saya.
“Kita bersama-sama memimpin negara. Bukan pemimpin dengan dunianya, rakyat di dunia yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi temubual 30 Minit: Tanya Apa Shaja – Kota Raja P111 Pilih Siapa, disiarkan secara langsung di Facebook BERJASA hari ini.
Selain itu, Fahmi yang juga Naib Ketua Pemuda Gerakan Tanah Air (GTA) berhasrat menunaikan tanggungjawab sosial tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Beliau berkata, tindakannya untuk bertanding di Parlimen Kota pada PRU15 kerana rasa ‘cinta’ kepada isu yang membelenggu rakyat untuk diselesaikan.
“Cinta saya kepada masyarakat untuk menyelesaikan isu kebajikan dan infrastruktur. Walaupun sebagai wakil rakyat kita tahu tugasnya membuat polisi dan dasar di peringkat Parlimen.
“Saya akan pastikan setiap polisi-polisi yang diputuskan di peringkat Parlimen dan kerangka yang diatur di peringkat nasional memberikan keuntungan dan kelebihan kepada penduduk di Kota Raja,” katanya.
Kerusi Parlimen Kota Raja bakal menyaksikan persaingan sengit dengan pertembungan lapan penjuru pada PRU15 ini.
Ia melibatkan calon Pejuang, Fahmi Bazlan Muda, calon Barisan Nasional (BN), Kajendran Doraisamy, calon Perikatan Nasional (PN), Mohamed Diah Baharun, calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sabu, calon Parti Rakyat Malaysia, Sarah Atiqah Zainal Arif serta tiga calon Bebas, Surendhar Selvaraju, Kumar Karananedi, P Raveentharan Periasamy.
Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/11/06/kota-raja-hab-pelancongan-jana-ekonomi-antara-manifesto-fahmi-bazlan/