Calon Pejuang Alor Gajah mahu fokus isu Tanah Rizab Melayu
Nak buat perubahan besar bela nasib Melayu dan ummah

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 14 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Tiada agenda dan hala tuju jelas punca rakyat di negara ini hidup dalam keadaan terumbang ambing.
Walhal, rakyat berhak menikmati kestabilan politik – kerana Malaysia mampu menjadi negara yang hebat sekiranya mempunyai matlamat dan agenda untuk dicapai.
Mengambil contoh Turki, Calon Pejuang di Parlimen Alor Gajah, Melaka, Muhammad Nazriq Abdul Rahman berkata, negara itu mempunyai objektif jelas untuk menjadi negara hebat menjelang 2035.
“Dulu, kita dididik untuk ada Wawasan 2020 tetapi selepas habis Wawasan 2020 tidak ada lagi agenda ataupun perkara yang disepakati untuk diperjuangkan oleh rakyat .
“Sebab itulah penduduk Malaysia tak nampak agenda yang jelas, sekejap ke kanan, sekejap ke kiri, dia ikut masing-masing punya tujuan,” katanya.
Justeru, jika diberikan mandat, beliau akan l berusaha untuk memperjuangkan isu Tanah Rizab Melayu yang kini berada dalam keadaan kritikal.
“Menerusi statistik yang diberikan negara kini mempunyai 12 peratus baki Tanah Rizab Melayu di Malaysia, katanya.
Malah, katanya di Melaka hanya ada 28 peratus sedangkan dalam Wasiat Raja-Raja Melayu menyatakan 50 peratus.
“Saya yakin kita boleh melakukan perubahan kerana strategi untuk menambahkan semula statistik kepada 50 peratus,” katanya.
Justeru beliau merayu kepada semua penduduk Alor Gajah memberikan peluang kepadanya bagi membolehkan perubahan besar dilakukan terutama dalam membela nasib orang Melayu dan ummah.