Berita Utama

Hukum mengundi wajib

Jangan sekali-kali pilih golongan yang salah, sesat

BANGI, 14 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Rakyat dinasihatkan supaya keluar menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ia merupakan kewajipan.

Malah, harus difahami tindakan itu sebagai tanggungjawab bagi menentukan pemimpin negara.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mengundi merupakan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan berbanding menunaikan umrah yang sunat buat umat Islam.

“Memilih pemimpin di atas dunia ini merupakan perkara yang akan disoal pada hari kiamat termasuk amalan serta tingkah laku kita dalam hubungan dengan masyarakat, keluarga dan sebagainya.

“Jadi, rakyat perlu melantik pemimpin untuk mewakili mereka seterusnya membentuk kerajaan yang baik untuk mentadbir negara.

“Tanggungjawab sebagai pengundi dengan memilih pemimpin yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT,” katanya.

Penyandang Parlimen Marang itu menjelaskan, dalam amalan demokrasi moden, rakyat diberikan peluang untuk menentukan kepemimpinan negara berdasarkan pengundian bagi membolehkan pemimpin menguruskan dasar kerajaan dan kesejahteraan rakyat.

“Jangan sekali-kali memilih golongan yang salah dan sesat untuk diangkat menjadi pemimpin dan mentadbir negara.

“Sekiranya pemimpin yang dipilih tidak mempunyai iman dan akhlak, maka, ekonominya akan runtuh, politiknya pula zalim dan menipu, lantas tiada keamanan dan kesejahteraan lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button