Berita Utama

KJ mengaku mahu jadi PM, tapi bukan sekarang

Beri isyarat pada UMNO, masuk kandang naga pun boleh menang majoriti

SUNGAI BULOH, 14 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Khairy Jamaluddin mengisytiharkan hasratnya untuk menerajui Malaysia suatu hari nanti dengan menjadi Perdana Menteri dan ketua UMNO.

Perkara itu dinyatakan Khairuy sekiranya beliau memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November depan.

Bagaimanapun, beliau segera menjelaskan hasrat itu bukan sekarang, kerana Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memegang jawatan Perdana Menteri apabila Barisan Nasional (BN) memenangi PRU15.

“Saya kini berusia 46 tahun jadi saya masih boleh menunggu. Tetapi saya mahu memberi isyarat kepada parti (UMNO) bahawa saya bersedia (menjadi perdana menteri).

“Jika orang di Sungai Buloh mengundi saya dan saya menang, saya boleh mengisytiharkan saya masuk ke kandang naga dengan 26,000 majoriti.

“Memenangi kerusi untuk BN pada PRU15. Saya mahu memimpin negara dan saya mahu memimpin parti,” katanya.

Beliau mengakui akan berhadapan pertarungan sengit untuk Sungai Buloh, yang sebelum ini dimenangi R. Sivarasa daripada PKR dengan 26,634 undi pada PRU14.

Kawasan Parlimen Sungai Buloh akan menyaksikan pertandingan tujuh penjuru pada PRU15 ini.

Pesaing lain adalah Ramanan Ramakrishnan (Pakatan Harapan – PKR), Mohd Akmal Mohd Yusoff (Gerakan Tanah Air – Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) serta calon Bebas, Nurhaslinda Basri dan Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button