Tengku Zafrul tempelak PN, janji keluar KWSP bukan penyelesaian jangka panjang
Ibarat minta rakyat ambil pencen sendiri sebelum bersara

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tindakan membenarkan pendeposit mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka sendiri mungkin bukan penyelesaian jangka panjang yang mampan untuk rakyat.
Menteri Kewangan itu berkata, rakyat perlu dibantu oleh kerajaan, bukan disuruh mengeluarkan simpanan masa depan sendiri untuk terus hidup.
“KWSP ibarat pencen. Ini seperti meminta mereka mengambil pencen sendiri sebelum bersara,” katanya ketika mengulas janji Perikatan Nasional bahawa ia akan mempertimbangkan satu lagi pusingan pengeluaran KWSP jika menang.
Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungannya akan membenarkan pengeluaran KWSP sama seperti penarikan i-Lestari dan i-Sinar sejak dua tahun lepas ketika kemuncak penularan wabak COVID-19.
Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, membenarkan pengeluaran sedemikian adalah tidak berfaedah kerana ia adalah wang rakyat sendiri.
“Tumpuan harus diberikan kepada memulihkan ekonomi yang perlahan, menurunkan harga barangan.
“Selain berusaha untuk meningkatkan pelaburan asing dan menyelesaikan isu-isu lain yang melumpuhkan seperti jurang pendapatan, pengangguran dan kemiskinan,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan akan meneliti pengeluaran KWSP secara bersasar jika parti itu mendapat mandat dalam PRU15.
Bagaimanapun Muhyiddin berkata, pengeluaran bersasar itu harus dinilai terlebih dahulu terutama dalam aspek jumlah baki simpanan pencarum yang memohon untuk lakukan pengeluaran berkenaan.