Berundur kalau ada kes mahkamah, Zahid tak apa tiada maruah: Zaharin
Kalau nak berjuang untuk Melayu, jadi macam Annuar Musa tak masuk tanding

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 15 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Pemimpin UMNO yang terpalit dengan kes-kes mahkamah perlu mengundur diri daripada menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana telah menjadi kudis kepada parti Melayu itu.
Tidak kira sama ada dibuktikan bersalah ataupun tidak, demi kemenangan UMNO, mereka perlu menarik diri daripada bertanding, kata bekas Ahli UMNO, Datuk Zaharin Mohd Yasin.
“Ini masalah maruah UMNO. Kalau diri dia tiada maruah macam Zahid Hamidi tak apa, tapi UMNO punya maruah sebagai institusi orang Melayu yang berjuang sekian lama tercemar dengan tindakan mereka ini.
“Jadi kalau mereka tak nak jaga maruah diri tidak apalah, tapi UMNO kena jaga maruah diri,” katanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.
Pada masa sama, Zaharin meminta pengundi khususnya mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun dan individu yang pertama kali mengundi menolak mana-mana calon yang terbabit dengan kes mahkamah.
“Tidak kisah siapapun sama ada di Putrajaya, Baling, Pontian, Bagan Datuk asalkan namanya sudah tercatat sebagai orang kena tuduh (OKT), bebas tak bebas, terhukum atau tidak itu soal kedua.
“Kena undi lain daripada dia, maknanya jangan undi,” katanya.
Pengkritik kuat Presiden UMNO itu juga menggesa rakyat menjaga integriti mereka sebagai pengundi.
Zaharin menganggap, tindakan mengundi golongan kluster mahkamah seolah-olah bersubahat dengan rasuah, penyelewengan, penipuan dan memperjuangkan bangsa Melayu untuk kepentingan diri.
“Pada saya mereka ini sebenarnya menjual Melayu ini dengan harga murah.
“Kalau dia berjuang untuk Melayu, jadilah seperti Annuar Musa tidak bertanding, tidak masuk Bebas.
“Kita undur dahulu tidak apalah, tengah ‘dia’ berkuasa,” katanya.
Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/1281286749313611