Dr Mohamad Nor tekad terjun arena politik demi khidmat bakti pada rakyat
Mahu perluas industri pelancongan, maju hub kesihatan

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 15 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Meskipun berlainan haluan, calon Pejuang di Parlimen Indera Mahkota, Dr Mohamad Nor Sundari tekad menyahut cabaran ‘terjun’ ke arena politik daripada dunia perubatan.
Beliau percaya pengalamannya selama 30 tahun sebagai doktor perubatan dan pembabitannya dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mampu mendekatkan dirinya dengan pengundi di Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebagai aktivis NGO dan sukarelawan dalam banyak misi perubatan, Dr Mohamad Nor yakin sudah tiba masa untuk beliau melangkah ke hadapan dengan berada di arena politik bagi menabur khidmat bakti kepada masyarakat.
“Selama 30 tahun terlibat dalam NGO sebagai aktivis, saya rasa tiba masa untuk melangkah ke depan bersama dengan masyarakat supaya dengan adanya saya di persada politik dapat memberi yang lebih baik.
“Kerana dasar-dasar yang hendak kita ubah sebenarnya tidak dapat dilakukan jika berada di fasa NGO, saya yakin memang satu cabaran yang sangat besar bila mana saya berdepan dengan politik, maka saya ambil ia sebagai satu cabaran,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook BERJASA, malam tadi.
Seiring dengan tekad itu, Dr Mohamad Nor sudah merangka beberapa idea pembangunan dan kebajikan khususnya untuk pengundi di Indera Mahkota, termasuk golongan muda.
Selain melihat peluang memperluaskan industri pelancongan, beliau juga merancang untuk mengoptimumkan sumber semula jadi dan memajukan hub perubatan di kawasan berkenaan.
“Jadi perkara utama yang kita akan lakukan adalah menyusun semula masyarakat supaya mereka ini dapat memacu ekonomi mereka melalui perniagaan dan aspek lain yang boleh membantu kehidupan keluarga.
“Antara lain perkara utama yang perlu saya buat ialah menaikkan ekonomi golongan muda ini supaya mereka terlibat secara langsung dalam aktiviti pelancongan sama ada melalui perniagaan ‘homestay’ atau sukan air,” katanya.
Justeru, beliau menggesa pengundi terutama daripada golongan muda untuk melihat sudut pandang dan idea berbeza yang ditonjolkannya di Parlimen berkenaan pada pilihan raya kali ini.
“Kita harapkan, pengundi muda ini pilihlah mereka yang benar-benar bekerja dan memberi yang terbaik kepada kita.
“Jadi kalau pertimbangkan pilihan kita, maka kita perlu pilih yang terbaik di mana kita boleh memberi ruang kepada calon yang mempunyai sudut pandang berbeza dengan cara politik sekarang,” katanya.