Berita Utama

GTA janji tambah baik sistem pengangkutan awam jika menang PRU15

Bilangan bas Rapid KL juga tak cukup untuk pastikan perkhidmatan lancar

PUTRAJAYA, 15 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Isu Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) tergendala dan rosak seolah tiada kesudahan, terbaharu Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan perkhidmatan hingga menjejaskan rutin harian pengguna.

Masalah yang kian berulang ini sangat dikesali, apatah lagi warga kota masih belum melupakan peristiwa hitam dalam sejarah pengangkutan awam negara ini, pada 24 Mei tahun lalu.

Dua tren LRT terbabit dalam kemalangan berhampiran stesen Kampung Baru, merekodkan kecederaan penumpang yang tinggi membabitkan 260 orang termasuk 47 cedera parah. 

Ahli Majlis Tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) sepatutnya daripada awal memandang serius isu kerosakan pengangkutan awam terutamanya LRT.  

“Sekiranya mereka tidak dapat menyediakan perkhidmatan yang selamat dan tepat pada masa, maka sukar untuk menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam selepas ini,” katanya.

Beliau maklum dengan kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong sudahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM800 juta yang akan dibelanjakan untuk ‘mid-life refurbishment’ melibatkan 28 set tren siri 818.  

Ia termasuk menjanjikan sebanyak 19 tren jenis baharu akan diterima pada suku keempat tahun hadapan.

Namun, bukan itu sahaja yang perlu diberi perhatian, bilangan bas Rapid KL juga tidak mencukupi bagi memastikan perkhidmatan bas berjalan dengan lancar. 

“Jika mereka ingin menggunakan khidmat e-hailing seperti Grab, kosnya mahal dan begitu membebankan,” katanya.

Melihat kepada situasi itu, Mohd Rosli yang merupakan salah seorang calon di kerusi Parlimen Pejuang berkata, pihaknya berjanji akan menambah baik sistem pengangkutan awam jika GTA dipilih untuk menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Projek ini akan diteruskan dan ditambah baik lagi bagi menyediakan keselamatan dan keselesaan kepada para pengguna,” katanya.

Rapid KL telah menutup 16 stesen di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya selama seminggu mulai semalam, akibat kerosakan sistem kawalan tren automatik (ATC). 

Laluan LRT Kelana Jaya turut terjejas oleh masalah sama pada Isnin hingga mengganggu perkhidmatan harian.

Ketika ini, Rapid KL menawarkan perkhidmatan bas perantara kepada penumpang terjejas di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya.

Kerajaan memohon maaf dan mengesahkan pakar dan jurutera luar negara Thales Group Kanada menyertai pasukan jurutera Rapid Rail, tiba petang ini bagi mempercepatkan proses baik pulih gangguan ATC.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button