Berita Utama

Penting pilih pemimpin bijak, wibawa kerana tugas MP penggubal undang-undang negara

Fungsi wakil rakyat bukan semata turap jalan, selesai masalah setempat

BANGI, 15 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Tugas dan peranan ahli Parlimen bukan semata-mata membaiki dan menaik taraf infrastruktur kawasan, menyelesaikan masalah setempat atau memberikan bantuan kepada rakyat.

Sebaliknya, ahli Parlimen yang dipilih pada setiap kali pilihan raya berperanan untuk menentukan pihak mana yang mempunyai kepercayaan bagi membentuk kerajaan.

Atas sebab itu, pilihan raya umum (PRU) adalah musim terbaik untuk mendidik diri dan belajar memahami tugas serta peranan sebenar ahli Parlimen.

“Ahli Parlimen bukan untuk turap jalan, buat longkang, kurangkan kesesakan, bagi bantuan makanan, bina dewan dan bagi minyak percuma semata-mata.

“Ramai yang terkeliru fungsi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT),” kata Pengarah Pilihan Raya BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad. 

Beliau berkata, selain membentuk kerajaan demokratik, tugas hakiki ahli Parlimen adalah menggubal undang-undang selaras terma bahasa Inggerisnya sebagai ‘law-maker’.

Terma itu sangat jelas menggambarkan fungsi ahli Parlimen sebagai penggubal undang-undang negara.

“Untuk menggubal undang-undang, amat penting kita melantik ahli Parlimen yang bijak, berfikiran kritis, berwawasan, faham undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta mampu berdebat secara profesional dan meyakinkan.

“Saya berani katakan majoriti ahli Parlimen kita sekarang terutama ‘career politician’ yang naik melalui birokrasi parti sendiri tidak memiliki ciri-ciri yang amat kritikal ini,” katanya.

Menurutnya, setiap undang-undang yang dikemukakan kerajaan hanya mempunyai legitimasi selepas ia diterima dan diluluskan oleh semua ahli Parlimen.

Ini juga membuktikan wakil rakyat bukan sahaja mewakili kawasannya untuk menggubal undang-undang di Parlimen, tetapi juga merangkumi kepentingan semua rakyat Malaysia yang akan menerima kesan daripada undang-undang diluluskan kelak.

“Ketiga, ahli Parlimen mempunyai peranan dalam menyemak setiap dasar, belanjawan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan supaya setiap perancangan dibuat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Tanpa semak dan imbang, risiko dasar tersebut tidak berjaya dilaksanakan dengan menyeluruh adalah tinggi dan boleh memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Maka, beliau berkata, di situlah kepentingannya ahli Parlimen yang dilantik mesti beriman, jujur, ikhlas dalam perjuangan, cintakan tanah air, menghormati identiti sejarah serta Perlembagaan Persekutuan.

“Jika tidak, setiap dasar yang dibuat kerajaan akan tersasar jauh dari dentiti asal dan semangat Perlembagaan seterusnya menghancurkan struktur kenegaraan yang telah dibina sekian lama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button