Berita Utama

Politik wang dalam UMNO dah lama, makin parah selepas Tun M letak jawatan

'Contoh Ketua UMNO Bahagian, walaupun berjuang tapi sengkek dia akan ditolak pengundi di cawangan'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 15 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Politik wang bukan perkara baharu kepada UMNO sebaliknya didakwa menjadi budaya dalam parti itu sejak sekian lama.

Bekas Ahli UMNO, Datuk Zaharin Mohd Yasin mendakwa, budaya ini sudah bermula pada tahun 1973 sewaktu pemilihan UMNO dan makin bertambah parah ketika Perlembagaan baharu UMNO 1975.

Menurutnya, individu yang membangkitkan isu politik wang dalam UMNO ini adalah Almarhum Tun Ghazali Shafie atau lebih dikenali ‘King Ghaz’.

“Oleh kerana dia (bekas) Menteri Dalam Negeri mungkin dapat maklumat daripada Cawangan Khas semasa itu. Keseluruhan UMNO ini sebahagiannya dahulu tidaklah begitu besar dalam politik wang.

“Dahulu, politik wang lebih banyak kepada material contohnya bawa rombongan pergi sana sini oleh individu yang nak bertanding, pergi belanja makan dan sebagainya.

“Tetapi apabila era 90-an ke atas selepas Tun Dr Mahathir Mohamad letak jawatan, politik wang ini menjadi-jadi sehingga sekarang ini,” dakwanya dalam temu bual Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Menurut blogger dan aktivis itu, ukuran kepimpinan ketika ini adalah sejauh mana individu berkenaan mempunyai wang.

“Kalau pemimpin, Ketua UMNO Bahagian itu sengkek walaupun dia berjuang, kerja kuat tapi… dia akan ditolak oleh pengundi-pengundi di peringkat cawangan.

“Ini banyak orang tak faham dan tahu. Jadi itu sebab pemimpin-pemimpin UMNO mana ada yang marhaen atau duduk di rumah teres. Dia tidak dikehendaki oleh ahli UMNO kerana individu demikian ini tidak bagi pulangan peribadi dari segi konteks kewangan, balasan projek dan anugerah.

“Tidak (dapat) sokong Ketua Bahagian. Tidak dicadangkan dapat pingat Datuk yang kecil-kecil ini kecuali kroni. Ini antara politik wang dalam UMNO dan ia bukan jadi budaya tapi pasti,” dakwanya.

Pautan Dimensi;
https://www.facebook.com/tvpertiwi/videos/1281286749313611

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button