PendapatTarbiyah

Tolak kepimpinan anak-beranak

Lantikan mesti lihat pada kelayakan dan kemampuan

1. LANTIKAN kepimpinan seharusnya berlaku adalah atas merit kelayakan seseorang. Seseorang tidak sepatutnya dilantik hanya kerana hubungan tali persaudaraan atau kerana ia disukai oleh pihak atasan. Sabda Rasulullah:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: «مَنِ اسْتَعْمَلَ رَجُلًا مِنْ عِصَابَةٍ وَفِي تِلْكَ الْعِصَابَةِ مَنْ هُوَ أَرْضَى لِلَّهِ مِنْهُ فَقَدْ خَانَ اللَّهَ وخانَ رَسُولَهُ وخانَ الْمُؤْمِنِينَ»

“Daripada Ibn Abbas RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang melantik lelaki dari kaumya sedangkan ada yang lebih diredhai Allah (yang lebih layak dari lelaki tadi), maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin.

2. Inilah pendirian yang biasa diambil oleh sebahagian besar para sahabat. Perhatikan bagaimana sebahagian sahabat melihat anak kepada Saidina Umar iaitu Abdullah bin Umar adalah seorang yang dikatakan layak untuk jadi pemimpin, tetapi Umar sendiri membantahnya. Beliau tidak mahu ada dikalangan anak-beranaknya sendiri menggalas tanggungjawab yang sangat berat ini. Kata Saidina Umar:

من استعمل رجلا لمودة او لقرابة لا يستعمله الا لذلك فقد خان الله ورسوله والمؤمنين

“Barangsiapa yang melantik seorang lelaki menjadi pemimpin disebabkan kerana dia suka kepada lelaki tersebut atau kerana lelaki tersebut adalah ahli kerabatnya, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang mukmin. (Ibn Kathir, Musnad al-Faruq, 2/537)

3. Malah Ibn Khayyat pernah merekodkan kisah Saidina Muawiyyah yang berhasrat untuk melantik anaknya sebagai pemimpin dan meminta para sahabat yang ada ketika itu untuk berbaiah (melafazkan janji taat setia) kepada anaknya. Lalu beberapa orang sahabat yang masih ada ketika itu membantah lantikan yang bersifat sebegini.

Antara yang membantahnya ialah: Abdullah bin Umar, Abdullah bin al-Zubair, Abdullah bin Abbas dan Abd al-Rahman bin Abu Bakar. Abd al-Rahman dikatakan antara yang paling tegas membantah lantikan ini. Beliau menyelar tindakan Muawiyah dengan berkata:

وَالله لَوَدِدْت أَنا وكلناك فِي أَمر ابْنك إِلَى اللَّه وَإِنَّا وَالله لانفعل وَالله لتردن هَذَا الْأَمر شُورَى فِي الْمُسلمين

“Demi Allah, aku lebih suka jika kami membiarkanmu sendirian dalam isu pelantikan anakmu ini di hadapan Allah, dan demi Allah kami tidak akan masuk campur! Demi Allah, engkau mesti kembalikan isu ini kepada syura kalangan muslimin.” (Tarikh Khalifah Ibn Khayyat)

4. Tindakan melantik anak-beranak (nepotisme) sebagai pemimpin ini dilihat menyamai tradisi kaum Rom dan Parsi. Atas dasar itulah Saidina Abd al-Rahman bin Abu Bakar (anak kepada Saidina Abu Bakar) menyelar tindakan Muawiyyah dan keluarganya tadi sebagai membawa tradisi Rom dan Parsi ke dalam kepimpinan Islam. Kata Abd al-Rahman:

أَجِئْتُمْ بهَا هِرَقْلِيَّة تُبَايِعُونَ لِأَبْنَائِكُمْ

“Apakah kamu semua membawa (perlantikan kepimpinan ini) melalui kaedah Hercules (Raja Rom) dengan kamu melantik anak-anak kamu sebagai pemimpin? (Ibn Hajar, Fath al-Bari)

5. Dengan itu para pemimpin wajib merealisasikan prinsip ini dengan tegas. Lantikan mestilah berdasarkan kepada kelayakan dan kemampuan. Jangan dilantik calon wakil rakyat, Menteri atau pemimpin hanya kerana hubungan kekeluargaan sesama mereka.

6. Ini adalah petikan dari buku 40 Hadis Tentang Politik dan Kepimpinan. Dapatkannya di sini: https://taybah.my/…/40-hadis-tentang-politik-dan…/

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button