Amaran cuaca buruk di kebanyakan negeri petang ini
Hujan lebat, ribut petir berterusan hingga jam 5 petang: MetMalaysia

BANGI, 16 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri di seluruh negara sehingga jam 5 petang ini.
Dalam kenyataan jam 1 tengah hari tadi, MetMalaysia berkata, amaran itu dikeluarkan susulan terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
MetMalaysia memaklumkan, cuaca buruk itu diramal berlaku di Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak dan Sabah.
Di Perak, amaran dikeluarkan membabitkan Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Di Pahang, cuaca buruk diramal berlaku di Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran dan Bera.
Sementara, bagi kawasan Lembah Klang pula membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Turut diramal terkesan adalah Negeri Sembilan dan Melaka.
Di Sarawak pula membabitkan kawasan Kuching, Serian, Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang, selain pedalaman Sipitang, Beaufort, Papar Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran serta Tawau (Lahad Datu) di Sabah.