Berita Utama

Banjir: PBT Selangor diminta kenal pasti longkang tersumbat

Persediaan awal aspek khidmat kesihatan, kecemasan sudah dilakukan

KLANG, 16 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Kerajaan negeri Selangor meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti kawasan perumahan yang mempunyai masalah longkang tersumbat agar masalah ‘backlog’ aliran air yang menjadi punca kejadian banjir di beberapa tempat di negeri itu, dapat diatasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata, pihaknya menerima laporan daripada Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, yang memaklumkan antara punca banjir berlaku dalam minggu ini disebabkan longkang tersumbat.

“Jadi kita akan minta setiap PBT segera untuk (bersihkan) longkang bagi elakkan ‘backlog’ khususnya di kawasan perumahan dan hotspot banjir,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, malam tadi.

Amirudin berkata, pihaknya kini lebih bersedia untuk menghadapi bencana banjir khususnya dari segi pengurusan kerana sudah melakukan persediaan lebih awal dari segi khidmat sokongan kesihatan serta kecemasan.

“Pengurusan mencari dan menyelamat kali ini juga lebih pantas bagi menyelamatkan mangsa walaupun ada yang tidak mahu berpindah. Namun pihak bomba akan memantau kawasan tersebut,” katanya.

Amirudin berkata, setakat 10 malam tadi, seramai 211 mangsa ditempatkan di tiga PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia dan PPS SK Binjai, Meru di Kapar dalam daerah Klang serta PPS Masjid Al Falah Kampung Budiman di daerah Petaling.

Beliau turut memaklumkan tiga mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Masjid Al Falah disahkan positif COVID-19 dan dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Budiman

Katanya, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian banjir berlaku di tempat lain selain tiga kawasan berkenaan dan memaklumkan situasi banjir di Selangor masih terkawal. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button