Berita UtamaDunia

Taliban larang wanita pergi taman, pusat gimnasium

Alasan diberikan kerana langgar arahan pengasingan jantina

KABUL,16 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Taliban memperkenalkan peraturan baharu apabila melarang golongan wanita mengunjungi pusat gimnasium dan taman.

Peraturan itu berkuat kuasa kepada kanak-kanak perempuan dan wanita di peringkat menengah.

Pada awalnya Taliban hanya menyekat wanita untuk keluar bekerja dan mengarahkan mereka memakai pakaian menutup kepala hingga kaki di tempat umum.

Jurucakap Kementerian Kebajikan dan Maksiat, Mohammed Akef Mohajer berkata, larangan itu diperkenalkan berikutan terdapat ramai wanita mengabaikan perintah pengasingan jantina.

Katanya, Taliban sebelum ini telah melakukan percubaan selama 15 bulan dengan mengelak penutupan taman dan gimnasium kepada wanita dan mengarahkan penggunaan hari yang berbeza bagi mereka.

“Bagaimanapun arahan berkenaan tidak dipatuhi dan telah dilanggar, keadaan tersebut memaksa kami melarang penggunaan gimnasium dan larangan ke taman,” katanya.

Malah dalam kebanyakan kes, Taliban mendapati wanita dan lelaki beriringan memasuki taman dan ada wanita yang tidak mengenakan hijab sepanjang berada di kawasan berkenaan.

Sementara itu, aktivis wanita, Sidaba Nazhand mempersoalkan hak wanita di Afghanistan apabila dilarang untuk ke gimnasium dan taman, bekerja dan sekolah.

Katanya, larangan tersebut tidak adil dan bukan hanya dikenakan kepada wanita tetapi akan memberi kesan kepada kanak-kanak. – Agensi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button