Berita Utama

Isytihar harta: Kurang sopan bila Hadi guna perkataan ‘kebodohan’

Patut 2 tahun sekali elak salah laku, rasuah

BANGI, 17 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak sepatutnya menolak kepentingan pengisytiharan harta menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bagi membuktikan integriti dan ketelusan semua calon bertanding.

Pengarah Pilihan Raya BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad menyifatkan bekas Ahli Parlimen Marang itu kurang sopan apabila menggunakan perkataan ‘kebodohan’ terhadap budaya isytihar harta menjelang pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau masih bersetuju dengan pandangan Abdul Hadi bahawa pengisytiharan harta ahli politik sepatutnya berlaku lebih awal dan berterusan.

“Saya berpandangan semua calon PRU mesti mengisytiharkan harta menjelang PRU, manakala setiap ahli Parlimen dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) mesti mengisytiharkan harta setiap dua tahun sekali.

“Bahkan, apa yang lebih penting ialah transaksi keluar masuk duit yang juga mesti dipantau bagi mengelakkan sebarang salah laku dan rasuah,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Menurut Muhammad Lukman, tindakan mengisytihar harta secara ‘once-off’ hanya akan mendedahkan jumlah simpanan dan aset semasa tanpa sebarang rekod keluar masuk, menyebabkan ia boleh dimanipulasi apatah lagi jika hanya dilakukan setiap lima tahun sekali.

“Berani kerana benar, takut kerana salah,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi menegaskan tiada keperluan untuk mengisytihar harta ketika kempen PRU15 dan ia sepatutnya dibuat bertahun lalu.

Bahkan, beliau turut menyatakan bahawa tiada keperluan untuk pemimpin PAS turut berbuat demikian kerana rakyat sudah mengenali mereka tidak mempunyai harta.

“Harta kita tak banyak… orang lain sebut juta-juta, kita ratus ribu… tak sampai juta, jadi tak perlu isytihar,” kata Abdul Hadi.

Isu berkenaan mula timbul susulan tindakan ahli politik dari PKR yang telah mengisytiharkan harta mereka sebelum PRU15 dan dokumen tersebut boleh dilihat menerusi laman khas https://calonkeadilan.org/.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button