LRT laluan Kelana Jaya operasi masa terdekat
Sistem isyarat, komunikasi perkhidmatan sistem dalam keadaan baik

BANGI, 17 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya – yang digantung operasi sejak Rabu lalu – berkemungkinan besar akan kembali beroperasi secara normal tidak lama lagi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sistem isyarat dan komunikasi perkhidmatan sistem LRT kini berada dalam keadaan baik dan dijangka dapat beroperasi semula dalam tempoh terdekat.
“Pagi tadi saya telah diberi taklimat tentang pengujian sistem kawalan tren automatik (ATC) oleh pihak Rapid Rail yang bermula pada jam 11 malam (11 November) hingga jam 5 pagi tadi, sambil dipantau oleh Bahagian Perancangan dan Penguatkuasaan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Matlamat utama pengujian ini untuk memastikan kestabilan dan keselamatan sistem sebelum meneruskan pengoperasian penuh.
“Pasukan ini telah menggerakkan 24 set tren di sepanjang laluan Putra Heights ke Gombak,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Beliau berkata, hari ini pihak berkenaan akan menguji 38 set tren di sepanjang laluan dengan jarak lima minit antara setiap set tren.
“Saya boleh melaporkan bahawa sistem isyarat dan komunikasi dalam keadaan baik dan berkemungkinan besar kita dapat kembali kepada pengoperasian normal kesemua 38 sehingga 40 tren di sepanjang laluan Kelana Jaya tidak lama lagi.
“Saya akan terus memantau perkembangan ini termasuklah ketika saya berada di Ayer Hitam. Mudah-mudahan saya dapat membawa berita baik esok,” katanya.
Pada 8 November lalu, Rapid Rail memaklumkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan berpunca daripada sistem ATC yang menyebabkan kehilangan signal antara pusat kawalan dengan tren.
Keesokannya, Prasarana mengumumkan sebahagian perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya digantung operasi selama tujuh hari hingga 15 November ini yang membabitkan 16 stesen dari stesen Kelana Jaya hingga Ampang Park.
Gangguan itu telah menjejaskan kira-kira 200,000 pengguna yang terpaksa beralih kepada kaedah pengangkutan lain bagi urusan harian serta menyaksikan trafik di ibu kota semakin sesak terutama pada waktu puncak.
Berita terdahulu;
https://ismaweb.net/2022/11/11/sabotaj-mungkin-punca-gangguan-lrt-kelana-jaya/