Berita UtamaDunia

Palestin desak AS batal rancangan bina kedutaan atas tanah dicuri

Subahat dengan rampasan haram Israel jika teruskan

BAITULMAQDIS, 17 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Kira-kira dua pertubuhan hak asasi manusia menggesa Amerika Syarikat (AS) membatalkan rancangan membina kedutaan baharu dan perkarangan diplomatik di atas tanah yang dirampas daripada keluarga Palestin.

Gesaan itu dibuat dalam surat yang ditulis Adalah dan Pusat Hak Asasi Perlembagaan (CCR) bagi pihak keluarga Palestin, dan dihantar pada Khamis kepada Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken dan Duta Besar AS ke Israel, Thomas Nides.

“Sekiranya AS meneruskan rancangan ini, ia bukan sahaja bersubahat dengan rampasan haram Israel ke atas tanah milik Palestin, tetap juga menjadi peserta aktif dalam rampasan tanah warga AS,” katanya.

Pada Februari 2021, Jabatan Negara AS dan Pihak Berkuasa Tanah Israel mengemukakan rancangan untuk kompaun diplomatik AS, berikutan keputusan yang sangat kontroversi oleh bekas Presiden AS, Donald Trump pada Mei 2018.

Ia secara unilateral mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv.

Awal minggu ini, rancangan itu telah dibuka untuk tempoh ulasan umum selama 60 hari dan selepas itu keputusan muktamad mengenai projek itu akan dilakukan.

Menerusi surat setebal 45 muka surat itu, kedua-dua kumpulan itu melampirkan kontrak sewa antara pihak berkuasa Mandat British dan keluarga Palestin yang memajak sementara tanah mereka, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada pangkalan tentera Allenby Barracks.

Tanah itu dirampas oleh kerajaan Israel di bawah ‘Undang-Undang Hak Milik Absentee’, yang memberikan negara kuasa untuk merampas dan mengambil harta serta aset rakyat Palestin yang terpaksa mereka tinggalkan ketika Nakba.

Nakba adalah istilah yang diberikan oleh rakyat Palestin kepada pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran paksa yang mereka alami di tangan Zionis pada 1948.

Peristiwa itu menyebabkan kira-kira 15,000 penduduk asli Palestin terkorban dan kira-kira 750,000 kehilangan tempat tinggal. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button