Berita Utama

Rakyat wajib tolak calon, parti dukung golongan LGBT

LGBT terang-terangan bertentangan Perlembagaan

BANGI, 17 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Rakyat perlu menolak mana-mana calon mahupun parti politik yang mendukung golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Azrol Mansor berkata, rakyat seharusnya sedar mengenai ancaman yang dibawa oleh golongan berkenaan.

“Perkasa merujuk kepada kenyataan JFS (Justice For Sister) apabila membuat kenyataan berani untuk menyarankan kepada golongan dan menyokong LGBT memilih calon yang mesra LGBT.

“Perkasa juga ingin mengingatkan kepada mana-mana pihak bahawa LGBT tidak pernah wujud dan tidak akan dibenarkan untuk bertapak di negara Malaysia.

“Ini kerana ianya bertentangan dengan agama Islam agama Persekutuan Malaysia ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Azrol berkata, pihaknya mendesak pihak berkuasa untuk mengharamkan mana-mana pertubuhan yang menyokong LGBT diterima bebas aktif dalam negara ini.

“LGBT aktiviti yang terang-terangan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, JFS menerusi infografik yang dimuat naik di laman rasminya menyarankan beberapa perkara bagi golongan LGBT untuk menilai pendirian calon-calon parti politik yang bertanding pada PRU15 mengenai agenda LGBT yang diketengahkan mereka.

JFS turut menyenaraikan parti politik yang menentang isu dan hak golongan LGBT antaranya Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Menurutnya, kempen parti itu turut mengambil pendirian anti-LGBT.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button