Berita Utama

Aminuddin tentang pihak mahu iktiraf UEC

'Sebab apa nak bawa sejarah orang lain, kenapa tak kaji sejarah kita?'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

TEMERLOH, 18 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Keadaan orang Melayu ketika ini yang jauh ke belakang bukan disebabkan masalah undang-undang mahupun polisi, sebaliknya berpunca kerana pemimpin tiada integriti yang hanya mementingkan politik mereka semata-mata.

Walhal, ciri yang harus ada pada seseorang pemimpin antaranya mempunyai visi dan agenda yang jelas untuk membangunkan rakyat dan negara.

Bagaimanapun, calon Pejuang kerusi Parlimen Temerloh, Aminuddin Yahaya kesal dengan sikap segelintir pemimpin politik apabila sanggup mempertaruhkan agenda dan masa depan rakyat demi kepentingan parti.

“Itu yang kita pelik, takut hilangnya sokongan undi, kompromi sana sini. Ini ada parti yang nak mengiktiraf UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu).

“UEC ini membawa sejarah Taiwan, ambil silibus sana datang sini. Tiada bahasa Melayu.

“Bukan ‘priority’ (keutamaan) ini yang kita tentang,” katanya ketika menyampaikan ceramah umum di Kampung Baru Simpang Sanggang, di sini malam ini.

Menurut Aminuddin, beliau tertanya-tanya tindakan pihak berkenaan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat.

“Nak bawa sejarah orang lain sebab apa, sejarah kita kenapa tidak dikaji?

“Habis apa yang ada pada pemikiran rakyat kalau macam itu. Akhirnya dia akan sayang pada negara lain. Tidak ada nasionalis, patriotik dan hubungan kaum di negara kita ini,” katanya.

Sebelum ini, manifesto ditawarkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat mahu meneruskan usaha mengiktiraf UEC.

Jika memenangi PRU15 ini, PH berkata, mereka akan meneruskan usaha mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button