Berita Utama

GTA mahu tubuh kerajaan bersih dengan pemimpin berintegriti

Kerajaan GTA akan ikut peraturan, tak sewenang-wenangnya guna kuasa

DENGKIL, 18 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Gerakan Tanah Air (GTA) berhasrat untuk menubuhkan kerajaan bersih kerana gabungan ini terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang berintegriti dan tidak terlibat dengan masalah.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti akan mengikut peraturan dan tidak sewenang-wenang menggunakan kuasa.

“GTA akan dirikan kerajaan yang bersih bukan mahu mendirikan kerajaan macam mereka, apabila jadi kerajaan mereka curi duit rakyat. Tak kan kita nak bagi orang yang curi duit jadi kerajaan,” katanya ketika mengadakan sesi ’walkabout’ sejam bersama dengan calon Pejuang di Parlimen Sepang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim di Pasar Pagi Pekan Dengkil, hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir mendakwa pembayaran awal gaji penjawat awam dan bantuan pada bulan ini sebagai rasuah dan tindakan membeli undi.

Katanya, sekiranya mereka merasakan parti yang dipimpin adalah baik, tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan.

“Kalau mereka baik tak perlu beli undi konon hendak tolong rakyat, tapi ini ‘curi’ duit rakyat.

“Kami dalam GTA tidak akan melakukan perkara sama dan akan ikut peraturan,” tegas beliau.

Beliau juga berkata, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sementara tidak sepatutnya memberikan wang kepada rakyat.

“Kalau bagi duit awal sebelum Sabtu ini, itu dikira macam rasuah juga dan salah bagi dia berbuat begitu,” dakwanya.

Pada 7 November lalu, Perbendaharaan memaklumkan kelulusan pembayaran gaji dan pencen untuk bulan ini dipercepatkan berbanding kelaziman pada setiap 25 hari bulan.

Selain itu, Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan bersetuju mempercepatkan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) mulai Selasa ini melibatkan nilai RM2.1 bilion yang bakal memanfaatkan seramai 5.2 juta penerima.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button