Berita Utama

Maszlee Malik dihalau ketika lawat PPS

Polis sahkan tiada kejadian tidak diingini berlaku

KLUANG, 18 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Polis mengesahkan insiden pertengkaran membabitkan seorang ahli politik dengan penduduk di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir berlaku di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md Noh berkata, orang ramai yang berada di PPS terbabit telah menghalang seorang ahli politik yang hadir untuk memberikan bantuan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan telah berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua belah pihak.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang turut mengesan satu klip video berdurasi 1 minit 29 saat di aplikasi WhatsApp memaparkan seorang ahli politik bertengkar dengan penduduk di sebuah PPS.

“Pihak polis mengesahkan kejadian itu berlaku di Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof, Simpang Renggam,” katanya dalam satu kenyataan.

Bahrin berkata, insiden itu dileraikan oleh anggota polis yang bertugas di lokasi dan ahli politik terbabit meninggalkan kawasan berkenaan.

“Tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dihalau seorang warga emas ketika berkempen di kawasan tersebut.

Dalam video berkenaan, lelaki itu ‘naik angin’ ketika Maszlee sampai di pintu pagar dewan sebelum menjerit ke arah bekas Menteri Pendidikan tersebut dengan nada keras menyuruhnya pulang.

Bagaimanapun dua anggota polis mengawal dan menenangkan warga emas tersebut sebelum dibawa tepi jalan di dewan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button