Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pemimpin politik kini masih guna kaedah lapuk, tak matang ketika berkempen

Pentas kempen patut jadi platform ajak rakyat bangun, bina semula negara: Prof Kok Seong

BANGI,18 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Kempen secara lapuk menggunakan agama, fitnah, serta mengaibkan pihak lawan sepatutnya tidak lagi dijadikan sebagai bahan ketika berkempen.

Malah, pendekatan berkenaan dilihat tidak rasional lagi dan sewajarnya pemimpin politik perlu bersikap matang bersesuaian keadaan semasa masyarakat di negara ini yang berpendidikan tinggi.

Luahan berkenaan disuarakan Felo Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong yang melahirkan rasa kecewa kerana pemimpin politik hari ini masih berkempen menggunakan pendekatan yang lapuk.

“Mengata, mengaib, memfitnah antara pemimpin lawan, menggunakan agama untuk menakutkan pengundi, seolah-olah tidak ada air muka, tidak malu untuk membuat dosa terbuka.

“Saya percaya dan yakin rakyat Malaysia tidak suka politik sempit begini, lebih-lebih lagi pengundi muda,” katanya seperti dipetik MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau pada masa sama mempersoalkan apa yang mahu ditonjolkan oleh pemimpin berkenaan sedangkan rakyat kini mengharapkan kestabilan politik, pengukuhan ekonomi serta mahu menjalani kehidupan yang harmoni.

Hakikatnya, rakyat sudah muak dengan politik yang tidak sihat dan kutuk-mengutuk yang tidak membawa kebaikan, tegas Kok Seong.

“Sejak selesai PRU14 sehingga hari ini kita sudah lihat banyak detik dan peristiwa yang merimaskan, meloyakan dan rakyat sebenarnya sudah penat dengan gelagat ahli politik yang merimaskan,” katanya.

Beliau yang merupakan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ahli-ahli politik perlu menjadikan pentas kempen pilihan raya sebagai platform untuk mengajak rakyat bersama-sama membangun dan membina negara.

Katanya lagi, dalam tempoh 14 hari ini, mereka sepatutnya mengajak rakyat berfikir menjadikan Malaysia kembali cemerlang di mata dunia.

“Bukan mengajak kami mendengar perkara-perkara negatif, yang akhirnya tidak membawa kebaikan kepada rakyat. Kalau sayangkan Malaysia, sayangkan rakyat berhentilah,” ujar beliau lagi.

Atas dasar itu, beliau menggesa supaya pemimpin-pemimpin utama parti untuk tidak mengajar pewaris mereka dengan budaya yang tidak sihat seperti yang ditonjolkan hari ini.

“Tak guna pun parti-parti politik membentuk gagasan atas apapun alasan, menampilkan pemimpin muda, melaung-laungkan demokrasi tapi tidak ada adab kerana yang tua tidak menunjukkan sikap baik.

“Cukuplah pelapis yang anda warisi pada hari ini, jangan lagi menambahnya,” tegas beliau lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button