Berita Utama

UMNO gantung sementara Ketua Wanita Arau dan Maran

Dituduh sokong calon parti lawan pada PRU15

BANGI, 18 Rabiulakhir 1444H, Ahad – UMNO bertindak menggantung sementara seluruh jawatan dua Ketua Wanita Bahagian selepas didapati terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kedua-dua mereka adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datin Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

Tindakan itu dipercayai mempunyai hubung kait dengan sokongan mereka terhadap penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Kedua-dua penyandang itu dipecat daripada UMNO selepas mengumumkan akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kawasan masing-masing pada PRU15.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penggantungan itu selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO kerana ada aduan sahih berkenaan tingkah laku, sikap dan kecenderungan kedua-dua individu terbabit.

“Butiran lanjut dan pertuduhan akan dibuat kepada Lembaga Disiplin dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan terhadap ahli-ahli parti sepanjang tempoh kempen PRU15 ini bagi memastikan tiada unsur-unsur sabotaj dilakukan terhadap calon dan parti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button