Berita Utama

Dr Mohamad Nor mahu perjuang aspek pendidikan kesihatan

Negara tak boleh berkembang kalau penduduk tidak sihat

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Tidak hanya fokus akses dan fasiliti sebagai tawaran, calon Pejuang di Indera Mahkota, Dr Mohamad Nor Sundari turut menekankan aspek pendidikan kesihatan untuk rakyat Malaysia, khususnya penduduk di Parlimen berkenaan.

Berpengalaman selama 30 tahun dalam sektor kesihatan, beliau melihat aspek itu masih kurang diberi penekanan sama ada di peringkat masyarakat mahupun kerajaan.

Baginya, pendidikan kesihatan amat penting sebagai pendedahan  bagi mendidik rakyat mengurus, menangani dan mengawal masalah kesihatan sendiri.

“Ketika misi saya di pedalaman seperti Jerantut, saya lihat kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan, anak-anak yang bantut dan kanak-kanak juga golongan dewasa yang obesiti.

“Ini adalah kerana faktor pemakanan yang tidak sempurna dan tiada penekanan  aspek pendidikan kesihatan. Pada saya, aspek ini masih kurang ditekan.

“Ada pesakit saya yang mengalami penyakit kencing manis, datang dalam keadaan sudah kronik dan terpaksa dipotong kaki, buah pinggang gagal berfungsi kerana tidak ditekankan kepadanya mengenai pendidikan kesihatan,” katanya dalam siaran langsung di aplikasi TikTok, malam tadi.

Perkara berkenaan antara turut dinyatakan dalam tawarannya kepada pengundi di Indera Mahkota sekiranya dipilih untuk ke Parlimen selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Selain pendidikan, Dr Mohamad Nor berkata, sektor kesihatan juga antara aspek  yang menjadi keutamaannya di Indera Mahkota, kerana ia sebahagian daripada tunjang kepada sesebuah negara.

“Nak tengok majunya sesebuah negara, kita lihat pada aspek tahap kesihatan penduduknya. Kalau penduduk tidak sihat, maka negara tersebut tidak boleh berkembang jauh.

“Asas kesihatan ini sangat penting, dan sebab itulah kita fokuskan kesihatan di dalam manifesto kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button