Berita UtamaKolumnis

Ini masa rakyat ajar pemimpin erti bersatu

Perlu ada strategi supaya negara tak jatuh ke tangan ultra kiasu

RAKYAT kena ajar pemimpin bersatu menjaga kedaulatan Islam dan kedaulatan negara bila mana pemimpin gagal memahaminya.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), melihat kepada perpecahan umat Islam Melayu yang makin serius, rakyat yang sayangkan agama, bangsa dan negara bersuara menyeru akan pentingnya umat Islam bersatu. 

Akan tetapi pemimpin parti politik Melayu Islam ini ego. Pemimpin parti gagal menyelami suaru hati rakyat yang dipimpin.

Lanjutan itu, ketua-ketua NGO Melayu Islam tampil bersuara, begitu juga dengan ulamak dan ahli akademik serta segenap lapisan. Berbagai inisiatif dan usaha telah dilakukan oleh mempertemukan semua pemimpin parti politik Islam ini. 

Malangnya, masih gagal. Pemimpin parti politik Melayu tetap ego, memilih untuk tidak bersatu. Pentingkan diri.

Dalam kata lain, semua usaha menyeru penyatuan gagal, untuk ‘memaksa’ pemimpin Islam Melayu bersatu.

Justeru, jika semua inisiatif tidak berjaya, sudah sampai masanya rakyat mengajar pemimpin Melayu Islam erti bersatu dalam PRU15, Sabtu ini. 

Lagipun rakyat adalah sumber kuasa dalam demokrasi. Rakyat adalah raja ketika hari mengundi. Rakyat akan memilih siapa pemimpin yang layak digelar pemimpin. Bukan pemimpin yang hanya muncul ketika pilihan raya sahaja. 

Kita amat bimbang, melihat kepada manifesto, terutama PH dan BN, banyak menjanjikan  bulan bintang, sehingga tidak masuk akal. Paling menakutkan soal memberi taraf kewarganegaraan kepada anak  hasil perkahwinan dengan orang luar negara, termasuk anak angkat. 

Kedua parti politik ini berjanji akan memberikan taraf kewarganegaraan jika berjaya memerintah

Janji ini sangat merbahaya kepada landskap politik negara, kerana terlalu ramai di luar sana yang sedang menunggu, lebih-lebih lagi mereka yang berada di Sabah dan Sarawak, tanpa dokumen. Ini tidak termasuk lagi, warga Cina-Vietnam yang berkahwin dengan ultra kiasu. Juga tidak termasuk lagi projek kad pengenalan palsu. 

Negara lain begitu sukar mendapatkan kerakyatan, kita mahu beri secara mudah, hanya kerana mahu menang pilihan raya. Sudahlah pemberian kerakyatan sebelum ini diberikan secara mudah menjelang kemerdekaan negara, sehingga mengubah lanskap politik negara. Itupun masih ramai yang tidak terhutang budi, terus dengan tindakan komunis mereka. 

Sedangkan British sendiri memberikan syarat kepada semua imigran ini sebelum diterima menjadi warganegara. Antaranya, jika mereka mahu tinggal di sini, sekolah berasaskan kaum atau sekolah vernakular mesti dihapuskan. 

Ketika ‘penjajahan’, British hanya membenarkan sekolah vernakular beroperasi dengan tujuan, apabila mereka mahu kembali ke negara, tidak lupa asal usul. Namun, jika mereka mahu meneruskan menetap tinggal di sini, menjadi wargananegara, maka sekolah berasaskan mesti dihapuskan. 

Malangnya, setelah kerakyatan diberikan, kita teruskan sekolah ini. British jauh lebih memahami erti pembinaan negara bangsa berbanding kita.

Kita bina negara bangsa berasaskan undi, untuk kekalkan kuasa. Sedangkan pemimpin negara dunia lain membina negara berasaskan kepada panduan dan prinsip hidup bernegara. Sehingga ke hari ini, kita terus dipisahkan melalui sistem pendidikan. Perpaduan dalam rakyat jelata masih menjadi tanya. Isu-isu sensitif terus dibangkitkan. 

Justeru, sudah tiba masanya rakyat mengajar pemimpin parti politik sebegini. Rakyat perlu berstrategi bagi memastikan negara ini tidak jatuh kepada tangan ultra kiasu. 

Dalam memastikan agama Islam terus terdaulat, bagi menjamin keutuhan bangsa dan negara, saya ingin mencadangkan, negeri-negeri seperti Perlis (parlimen dan DUN), Kelantan Terengganu, Kedah (parlimen),  saya merayu kepada rakyat, memilih menyerahkannya kepada PAS (PN). 

Manakala, bagi negeri-negeri pantai barat, rakyat pakat-pakat memilih UMNO (BN) untuk memerintah di sana, kecuali beberapa kawasan (DUN dan Parlimen) tersebut yang menjadi kubu kuat PAS. Rakyat jangan hiraukan lagi suruhan pemimpin parti, kerana mereka masih lagi belum celik.

Kes paling unik ingin saya tonjolkan di sini adalah Parlimen Sungai Buluh dan Tambun, yang ditandingi oleh semua parti politik Melayu Islam, melawan PH. 

Untuk Parlimen Sungai Buluh, sepatutnya PAS sepatutnya mengundi memilih Khairy Jamaluddin (UMNO-BN) agar menang di sana. 

Walaupun dalam beberapa perkara saya tidak bersetuju dengan KJ, tetapi dalam isu pertembungan sebegini, PAS wajar menyokong KJ di Sungai Buluh. Beri kemenangan kepada KJ. Jika kita tidak pilihan terbaik, carilah yang tidak memudaratkan, daripada jatuh kepada tangan ultra kiasu.

Begitu juga pertembungan antara ketua PKR (PH) dengan Bersatu (PN) dan parti politik Melayu yang lain di Parlimen Tambun. UMNO sepatutnya menyokong calon Bersatu (PN) di Tambun. Pasti pemimpin tertinggi PH gagal di Tambun bagi menyekat laluan ke Putrajaya. 

Saya menyeru kepada semua ahli PAS dan UMNO, untuk ketika ini, masa ini, fikirkan soal masa depan agama, bangsa dan negara, lakukanlah. Jika kamu masih berdegil, tidak mahu bersatu, pasti kamu akan gagal untuk menyekat kemaraan ultra kiasu. 

PRU15 tidak boleh lagi terlalu fanatik kepartian. Sudah tibanya masanya rakyat mengajar pemimpin parti mereka erti penyatuan.

Begitu juga beberapa kerusi kritikal lain yang tidak perlu saya ulas panjang lebar di sini, seperti Kuala Langat dan Hulu Selangor. Berlaku pertembungan antara Islam dan bukan Islam di kawasan majoriti Islam. Maka pilihlah calon Islam yang bersih, beri laluan  kepada PAS. 

Cukuplah dengan memahami beberapa situasi kerusi ini, sebagai panduan bagi memastikan kerusi-kerusi kritikan yang lain tidak jatuh kepada ultra kiasu. 

Pastikan PAS mendapat lebih kurang 30 kerusi parlimen daripada 222 kerusi. Ketika itu PAS akan menjadi ‘king maker’ bagi memastikan negara ini tidak jatuh kepada ultra kiasu. Kenapa saya masih percayakan PAS? 

Jika saudara beranggapan bahawa semua pemimpin partii politik itu tidak ada yang bersih, semuanya jahat, maka daripada banyak yang jahat itu, yang kurang jahatnya adalah PAS, terutama kerusi-kerusi kritikal. PAS masih berada dalam landasan yang betul, meskipun ada yang terbabas dan kecundang. 

Namun pilihan yang ada tetap PAS untuk menjadi ‘king maker’ tersebut. Bukan menafikan pemimpin NGO yang menyertai GTA, tetapi pilihan yang ada buat setakat ini, tetap PAS. Buatlah macam mana pun, dicincang lumat, PAS tetap tidak akan bersama ultra kiasu. Maaf, parti-parti Melayu Islam lain, saya masih belum dapat memberikan harapan. 

Selamat mengundi. Kepada anak muda pertama kali mengundi, pastikan kedaulatan Islam terjamin dengan memilih pemimpin parti orang Islam yang kurang mudaratnya. Ajar pemimpin semua parti orang Melayu Islam erti Bersatu mendaulatkan Islam.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button