Berita Utama

PAS mahu tawan semua kerusi Parlimen di Terengganu

Empat kawasan sudah dalam tangan, empat lagi berpotensi menang

KUALA TERENGGANU, 19 Rabiulakhir 1444H, Isnin – PAS menaruh harapan tinggi untuk memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen yang ditandinginya di Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata, daripada jumlah berkenaan empat kerusi iaitu kubu kuatnya di Marang, Kuala Terengganu, Dungun dan Kuala Nerus kini dianggap sudah berada dalam genggaman parti itu.

“Namun, baki empat kerusi Parlimen lagi iaitu Kemaman, Setiu, Besut dan Hulu Terengganu disifatkan sebagai agak sengit tapi yakin parti itu mempunyai peluang serta potensi lebih cerah dari pihak lawan.

“Melihat perkembangan semasa yang berlaku di lapangan dan dari segi kempen, poster dan kain rentang, nampaknya PAS telah mendahului di semua tempat,” katanya.

Ariffin berkata, BN kelihatan tidak bersemangat dalam PRU15 ini dan perkara tersebut dinilai melalui markas dan ceramah.

“Kita lihat markas pun ada buka sekejap kemudian tutup, ceramah pun tak ada sangat seperti PAS,” katanya.

Berbeza dengan PAS, parti itu turut memanfaatkan perkembangan teknologi dengan memastikan setiap ceramah yang diadakan disiarkan secara langsung melalui media sosial seperti Facebook dan TikTok sebagai kemudahan kepada penyokongnya.

Usaha berkenaan dilakukan kerana masyarakat, terutama golongan muda lebih gemar menonton ceramah secara ‘live’ di rumah.

Pada PRU15, tujuh kerusi Parlimen Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Pertarungan itu membabitkan calon dari PAS, BN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Bagaimanapun, katanya hanya di Parlimen Dungun yang menyaksikan pertembungan lima penjuru apabila seorang peguam, Ghazali Ismail menawarkan diri bertanding sebagai calon bebas di kerusi itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button